Ramlah Zainal


Shah Alam: "Saya akan berusaha untuk menyelamatkan keluarga dan jalan terbaik untuk Isteri dan anak-anak hidup secara normal seperti sedia kala," kata pelakon Farid Kamil, 42.

Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, berkata demikian ketika sebutan pertama kes hadanah atau hak penjagaan membabitkan dua anaknya, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pagi ini.

Menurut Farid, mereka sudah mengharungi pelbagai rintangan sepanjang tempoh sebelas tahun berumah tangga.

"Harapan untuk rumah tangga kami, saya serahkan kepada Allah SWT," katanya.

Farid berkata, dia juga menyerahkan kepada Allah supaya mereka akan kembali seperti biasa.

"Harapan saya letak kepada Allah supaya suatu hari nanti kami akan kembali seperti biasa.

"Saya tidak pernah berhenti berusaha untuk mencari anak dan isteri saya berada. Tapi, pada bulan Ramadan ini, banyak batasan di samping saya sibuk dengan kerjaya sekarang," katanya.

Terdahulu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Beberapa hari sebelum melantik JKP, pada 24 Mac. Diana memperoleh hadanah interim atau hak penjagaan sementara dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:15 PM
Pelakon, Farid Kamil hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi memfailkan hak penjagaan anak mereka hari ini. FOTO Genes Gulitah
Pelakon, Farid Kamil hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi memfailkan hak penjagaan anak mereka hari ini. FOTO Genes Gulitah