Norhayati Nordin


Shah Alam: Farid Kamil, 42, tetap positif dan berhasrat untuk membawa isterinya, Diana Danielle, 32, dan anak-anak pulang ke kampungnya di Kedah untuk merayakan Aidiladha ini bersama sebagai satu keluarga lengkap.

Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari ketika ditemui berkata, hasrat itu penting baginya kerana berkumpul satu keluarga pada musim perayaan sudah menjadi tradisi keluarganya di mana semua adik-beradik akan pulang ke kampung.

"Saya berharap sangat ingin membawa isteri dan anak-anak pulang ke kampung untuk kami meraikan Aidiladha kali ini bersama-sama sebagai satu keluarga.

"Memang saya ada merancang untuk beraya di kampung seperti biasa, jadi untuk itu saya akan berusaha mencari jalan membawa mereka balik merayakan Aidiladha nanti," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu ditemui ketika hadir bagi sebutan semula inter-parte (kedua-dua pihak) dengan isteri juga pelakon Diana Danielle berhubung hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anak mereka iaitu Muhammad, 10; dan Nur Aurora, 8.

Pada Aidilfitri lalu, Farid berpeluang meraikannya bersama anak sulung, Muhammad selama seminggu di kediaman keluarganya di Alor Setar, Kedah.

Sebelum ini, pasangan Farid dan Diana menjalani proses sulh bagi membincangkan hak penjagaan anak atau hadanah yang difailkan Diana untuk menuntut penjagaan penuh pada minggu lalu.

Farid juga diperintahkan menghantar surat kepada peguam Diana lima hari lebih awal sebelum ingin berjumpa dengan Muhammad dan Nur Aurora.

Farid Kamil tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Shah Alam bagi sebutan semula berhubung hadanah interim (hak penjagaan anak sementara). FOTO FAIZ ANUAR
Farid Kamil tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Shah Alam bagi sebutan semula berhubung hadanah interim (hak penjagaan anak sementara). FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:14 PM