D'MASIV
D'MASIV
Agensi

Jakarta: Tiga anggota kumpulan D'Masiv iaitu penyanyi, Rian, Wahyu (dram) dan Rama (gitar) berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, mereka dalam perjalanan ke Surabaya untuk mengadakan persembahan.

Kemalangan itu menyebabkan Rian lebam di mata kiri kerana terhantuk di kerusi hadapan, manakala Rama mengalami luka di dagu dan terpaksa dijahit.

Wahyu pula dikatakan mengalami sesak nafas namun keadaannya kembali stabil selepas menerima rawatan,

Pengurus persembahan D'Masiv, Aziz berkata, walaupun kejadian itu mencemaskan mereka, tetapi dia bersyukur kerana mereka tidak mengalami kecederaan serius.

"Mereka terbabit dalam kemalangan akibat kelalaian pemandu yang mengantuk dan mungkin kerana kurang sihat sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku," katanya.

Katanya, kejadian itu tidak menjejaskan kumpulan yang popular dengan lagu Cinta Ini Membunuhku itu untuk membuat persembahan apabila tampil beraksi seperti biasa.

Rian berkata, mereka tidak mahu menghampakan peminat dan tetap meneruskan persembahan di sana.

"Kami tetap membuat persembahan kerana peminat sudah membeli tiket. Kami melakukan dengan semampu yang boleh kerana cinta terhadap muzik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:37 PM