SHERRY serahkan soal kehidupan dan perkahwinan kepada ketentuan Allah.
SHERRY serahkan soal kehidupan dan perkahwinan kepada ketentuan Allah.
Najiy Jefri


Pelakon dan pengacara popular, Sherry Alhadad sentiasa terbuka untuk berkongsi perkara peribadi walaupun sesetengah individu lebih selesa mendiamkan diri.

Sherry yang mengakui masih solo berkata, dia tidak tertekan apabila ada bertanya soal jodoh selagi ibunya tidak membuka mulut supaya dia segera menamatkan zaman bujang.

Walaupun usianya sudah menjangkau 34 tahun, Sherry mengaku gembira dengan kehidupan berstatus ‘single’ ini.

“Biarlah orang sekeliling yang bertanya asalkan bukan emak saya. Sehingga hari ini dia tak pernah bertanya bila saya nak bawa calon menantu atau mendirikan rumah tangga.

“Jodoh bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Saya bukanlah wanita yang cerewet dalam memilih pasangan tapi biarlah seseorang itu saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Sherry, dia menyerahkan soal kehidupan dan perkahwinan kepada ketentuan Allah, namun tetap berusaha mencari lelaki terbaik dalam hidupnya.

“Saya tak ambil hati apabila ada yang bertanya soal jodoh. Sebabnya, saya percaya dan yakin pada ketentuan Allah. Apa saja yang terjadi pada diri, ini adalah aturan Allah.

“Saya sudah sampai tahap jika ada, adalah. Mungkin ini adalah masalah yang saya hadapi apabila terlalu berdikari. Namun, saya tidak pernah patah semangat untuk mencari lelaki terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Bercerita mengenai penampilan terbarunya yang semakin kurus, Sherry menyangkal dakwaan mengatakan dia menurunkan berat badan atas desakan netizen atau statusnya sebagai artis dikenali.

Bagaimanapun, Sherry memaklumkan tujuan dia menurunkan berat badan kerana dia sedar perlu mengamalkan gaya hidup sihat, seiring usia yang kian meningkat.

“Pada awalnya, pembantu peribadi yang mulakan dulu sesi ke gimnasium dan menyertai sesi senaman.

“Dia tak pernah paksa saya pun. Cuma pada satu hari, saya mengajaknya ke gimnasium kerana nak rasa pengalaman itu dan ia berterusan sehinggalah sekarang. Alhamdulillah berat badan menurun secara perlahan-lahan.

Ditanya adakah isu ‘body shame’ yang diperkatakan ramai mendorongnya untuk tampil kurus, Sherry berkata, dia tidak pernah malu dengan bentuk badannya.

“Saya tidak pernah malu dengan badan saya. Saya tidak pernah bimbang dengan apa yang orang lain cakap. Sebab kalau nak diikutkan, dari kecil sudah kena ejek, jadi baik saya diet sejak dulu.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki. Bagi saya, biarlah apa orang nak cakap asalkan saya sihat dan tidak kacau orang,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 12:49 PM