Norhayati Nordin

SIFAT kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak sukar digambarkan. Tidak kiralah apa statusnya, sama ada mereka itu anak kandung, anak angkat atau anak tiri.

Apa yang pasti, kini semakin ramai lelaki atau wanita yang tidak berkahwin sanggup menggalas tanggungjawab sebagai ibu atau bapa tunggal kepada anak angkat yang dijaga mereka.

Bagi komposer dan penyanyi popular, Hael Husaini, 34, kehidupannya dirasakan lengkap apabila bergelar bapa kepada tiga anak angkat yang sudah diasuh sejak bayi.

Katanya, dia dilimpahi kasih sayang dan kebahagiaan.

"Apabila sudah bergelar bapa, ia secara tidak langsung membentuk kematangan dalam diri saya. Sifat kasih sayang yang menebal terhadap anak-anak itu sekali gus memupuk rasa tanggungjawab yang tinggi pada diri.

"Kehidupan saya sekarang gembira dan lebih tenang bersama anak-anak. Mereka adalah keutamaan saya dalam segala hal. Saya bersyukur semuanya lancar. Urusan penjagaan juga dipermudahkan," katanya.

Hael atau nama sebenarnya Hael Husaini Razmi mempunyai anak angkat perempuan, Nur Helena, 4, yang diasuhnya sejak 2017.

HAEL Husaini dilimpahi kegembiraan dan kebahagiaan bersama tiga anak.
HAEL Husaini dilimpahi kegembiraan dan kebahagiaan bersama tiga anak.

Pada Mei lalu, Hael berkongsi foto Aidilfitri bersama Nur Helena dan dua lagi anak angkat iaitu bayi kembar lelaki diberi nama Healmy dan Healman di Instagram.

Namun, dia kemudian memadam semua foto bersama anak-anaknya di media sosial kerana enggan terlalu berkongsi atau mendedahkan mereka kepada umum.

"Saya lebih selesa tidak mendedahkan mereka di media sosial. Lagipun, rasanya tidak perlu terlalu digembar-gemburkan kerana saya hanya mahu fokus menjadi seorang bapa saja.

"Rutin harian saya diakui agak sibuk dengan menjaga dan menguruskan anak-anak. Tetapi, sangat bahagia dan gembira kerana kehadiran mereka begitu bermakna kerana menceriakan setiap hari saya," katanya.

Berbicara mengenai penularan Covid-19 yang hingga kini masih tinggi angka jangkitannya, penyanyi lagu Jampi dan Haram ini berkata, dia 'paranoid' untuk keluar rumah kerana memikirkan keselamatan anak-anak.

"Saya tak nafikan perasaan 'paranoid' itu memang ada. Apatah lagi, bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil berusia 12 tahun dan ke bawah yang kita tahu mereka tidak divaksin. Jadi, apa yang mampu saya buat berusaha melindungi mereka sebaiknya.

"Bagi saya, dalam keadaan penularan virus yang belum reda ini semua ibu bapa pasti bimbang dengan keselamatan anak masing-masing. Ditambah, kita pun tidak tahu lagi inisiatif rawatan sesuai untuk anak-anak kecil ini, selain kena berhati-hati," katanya.

JAGA privasi, Hael kini tidak dedah foto bersama anak-anak di media sosial.
JAGA privasi, Hael kini tidak dedah foto bersama anak-anak di media sosial.

Mengakui bukan mudah menggalas tugas sebagai 'bapa tunggal', Hael berkata, dia bersyukur kerana keluarga juga banyak membantu.

Katanya, pelbagai pengalaman indah sudah ditimba dan menjadikan dia lebih cekal dan sabar.

Kerja belakang tabir

Sejak Covid-19 menular tahun lalu hingga kini, Hael mengakui pendapatannya turut terjejas akibat hampir dua tahun persembahan nyanyian tidak dibenarkan.

Sekarang tiada lagi peluang dan tawaran menyanyi secara terbuka terus di hadapan penonton dan ia sangat dirindui.

Katanya, kini acara nyanyian diadakan dalam norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Semua penggiat seni suara pada ketika ini perlu membiasakan diri dengan persembahan nyanyian secara virtual yang dirakam dari rumah. Boleh dikatakan kita harus selesakan diri dengan teknologi moden.

"Walaupun pada situasi sekarang bidang nyanyian agak terjejas, namun kini saya lebih fokus pada kerja-kerja di belakang tabir terutama rakaman dan penciptaan lagu.

"Syukur alhamdulillah, rezeki saya dalam kerjaya seni masih ada menerusi penciptaan lagu. Malah, saya sentiasa yakin bahawa rezeki anak-anak tetap ada, cuma kena usaha dan tawakal," katanya.

Kelmarin, Hael bersama 30 penyanyi lain tampil menghiburkan penonton dalam konsert virtual COVAiD #BaikSemula anjuran Media Prima Audio (MPA) bagi mengumpul dana membantu petugas barisan hadapan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:00 AM