Pelakon , Bella Dowanna. Foto Nabila Adlina Azahari
Pelakon , Bella Dowanna. Foto Nabila Adlina Azahari
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon Bella Dowanna, 20, tidak lagi mempedulikan tindakan 'body shaming' yang menimpa dirinya kerana sedar kegembiraan diri sendiri lebih utama dan penting berbanding tertekan dengan cakap-cakap orang.

Bella atau nama sebenarnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim berkata, tiada sebab untuk dia kecewa mendengar kata-kata orang lain terhadap dirinya berisi atau kurus kerana yang pasti kesihatannya sentiasa baik.

"Saya memang ada fasa-fasa badan besar dan kecil. Ikut 'mood' saya jugalah nak badan besar ke atau kecil, sebab saya senang kurus, senang berisi.

"Kalau orang banyak sakitkan hati saya, nak kurus saya kuruslah. Kalau ia tidak bawa faedah pada saya, tak kisah pun apa orang nak kata, ini badan saya, ini pilihan saya," kata Bella Dowanna ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Nak Dengar Cerita Hantu di sebuah pawagam di ibu kota, baru-baru ini.

Bella berkata, walaupun tidak senang sangat untuk dia menurunkan berat badan yang berisi, namun akuinya semua itu bergantung pada usaha dilakukan diri sendiri.

"Tak adalah boleh cepat sangat nak turunkan berat badan, tapi semua itu bergantung pada usaha saya juga. Cuma, kalau saya rasa nak turunkan berat badan untuk kebaikan, saya buatlah.

"Tapi, buat apa saya beriya-iya kurus sebab sekadar nak puaskan hati orang sebenarnya. Lagi pula, bukan satu tekanan pada saya pun kalau badan berisi. Kalau saya nak sangat kurus, tapi tak 'happy' buat apa?

"Pada saya, biar diri saya yang gembira dulu, orang lain biarkanlah. Kegembiraan saya paling penting. Jangan rasa tertekan dengan cakap-cakap orang, buat apa yang kita suka buat. Ini badan kita, ini pilihan kita, bukan badan orang lain pun," katanya.

Menurut pelakon drama Budak Tebing ini, dia juga sudah lali dan terbiasa kena dengan 'body shaming' yang baginya tidak perlu dilayan dan biarkan saja.

"Banyak kali dah saya kena 'body shaming' dan sampai tahap malas nak layan dan ambil tahu pun. Terpulanglah pada pandangan masing-masing nak kata saya kurus atau sebaliknya. Saya memang dah tak kisah," katanya.

Bella kini melanjutkan pengajiannya di UOW Malaysia atau dulu dikenali sebagai Kolej KDU dalam jurusan kulinari berkata, dia seorang yang suka memasak dan menikmati makanan enak kegemarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 6:21 PM