JOE (tiga dari kanan) bersama M Nasir (tiga dari kiri), Nasir Jani (dua dari kiri), Ito (empat dari kiri), Ghani (kanan), Ali Bakar (dua dari kanan) dan pasangan pengantin.
JOE (tiga dari kanan) bersama M Nasir (tiga dari kiri), Nasir Jani (dua dari kiri), Ito (empat dari kiri), Ghani (kanan), Ali Bakar (dua dari kanan) dan pasangan pengantin.
Riadz Radzi


Kuala Lumpur: "Rasa macam baru je dukung dia masa umur enam bulan, tiba-tiba sekarang dah kahwin," kata pemain gitar popular, Joe Branko selepas anak sulungnya, Sarah Nisa Abd Zamin, 26, selamat melangsungkan pernikahan dengan Mohammad Adham AD-Noor, 26, Sabtu lalu.

Joe atau nama sebenarnya, Abd Zamin Abd Kadir, 53, berkata, dia bersyukur anak perempuannya itu memilih Mohammad Adham yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.

"Mereka dah kenal sejak tingkatan empat lagi. Sebagai bapa, saya risau juga sebab mereka dah 10 tahun berkawan. Namun, saya lega dan bersyukur kerana mereka akhirnya ke jenjang pelamin. Saya dah lama kenal menantu dan memang dah anggap dia seperti anak sendiri," kata Joe yang juga bekas pemain gitar Wings.

Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung di Batu 18, Hulu Langat, Selangor itu turut dihadiri rakan-rakan artis dan penggiat industri muzik antaranya Datuk M Nasir dan isteri, Marlia Musa, Datuk Hattan, Ella, Muss, Kid Search, Nasir Search, Black Wings, Ito Blues Gang, Ghani Blues Gang, bekas pengurus Wings, Ali Bakar; pengarah, Nasir Jani; pemain keyboard, Rozario dan anggota kumpulan Barbarik, Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard).

Tambah menarik, Joe turut bermain gitar mengiringi nyanyian Hattan menerusi lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dan Gerhana.

Joe mengakui walaupun sedih, dia gembira apabila anaknya itu bertemu jodoh.

"Kita dah jaga dan didik dia sejak kecil. Kita dah berikan yang terbaik untuk masa depannya. Namun, sampai masa kita sebagai ibu bapa kena terima hakikat anak perempuan akhirnya akan mengikut suaminya.

‘SEMPAT’ membuat persembahan bersama Hattan.
‘SEMPAT’ membuat persembahan bersama Hattan.

"Tanggungjawab saya terhadap Sarah kini saya serahkan kepada menantu. Memang sedih bila tengok bilik dia, dia dah tiada. Ini semua hakikat dan saya dengan isteri kena kuat. Insya-Allah tahun depan saya dapat cucu kot," katanya ketawa.

Selain Sarah, Joe dan isteri, Rozalinda Gulam Rasul memiliki dua lagi anak iaitu Aisyah Nisa, 25; dan Muhammad Rafael, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 4:03 PM