LAMBAIAN Kanda antara lagu popular dinyanyikan Allahyarhamah Julie.
LAMBAIAN Kanda antara lagu popular dinyanyikan Allahyarhamah Julie.
Najiy Jefri


PENYANYI Datuk DJ Dave menyifatkan Allahyarhamah Datin Paduka Julie Sudiro yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi paru-paru, malam kelmarin, sebagai penghibur yang cukup disegani.

DJ Dave berkata, Julie Sudiro seorang figura seni berbakat besar dan peramah dalam kalangan selebriti.

"Industri seni kehilangan seorang penghibur seni berbakat besar dalam bidang seni suara.

"Perkenalan saya bersama Kak Julie sudah hampir 50 tahun. Saya mengenali arwah sebelum saya menjadi penyanyi lagi.

"Saya pernah menonton persembahannya ketika dia aktif menyanyi di kelab dekat sebuah hotel. Bagi saya, arwah adalah ratu jazz yang hebat, malah mampu menyanyikan pelbagai genre lagu.

"Mengenali keperibadian arwah selain pernah berkongsi satu pentas dalam beberapa persembahan sebelum ini, dia insan yang sangat peramah dan tidak suka bergosip," katanya, semalam.

Menurut DJ Dave, dia sudah lama tidak bertemu Allahyarhamah Julie memandangkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

JENAZAH Allahyarhamah Julie selamat dikebumikan di Subang Jaya, semalam.
JENAZAH Allahyarhamah Julie selamat dikebumikan di Subang Jaya, semalam.

"Saya sudah lama tak bertemu arwah. Disebabkan dia tidak sihat hingga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital, saya enggan mengganggunya.

"Saya harap seluruh ahli keluarga arwah tabah dan kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan kehilangan arwah satu yang mengejutkan buat dunia seni tanah air.

"Pemergian Julie adalah satu kejutan buat seluruh penggiat seni. Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro seorang penyanyi Malaysia keturunan Jawa yang aktif menyanyi pada era 1960-an. Beliau mula mencipta nama di sebuah pertandingan nyanyian di Singapura sehingga berjaya menarik perhatian peminat muzik dan dilamar merakamkan suara.

Antara EP Inggeris terawal dirakamkan adalah 'Down Town' yang juga memuatkan lagu berjudul 'Be Good To Me' pada 1966.

VOKAL dan kelunakan nyanyian Allahyarhamah Julie terus diingati.
VOKAL dan kelunakan nyanyian Allahyarhamah Julie terus diingati.

Satu persatu EP Melayu dan Inggeris dihasilkan dan salah satu lagu Inggeris yang pernah dirakamkan bersama kumpulan muzik pengiring iaitu The Emerlads ialah 'Na Na Na Hey Hey Kiss Me Goodbye' (juga adalah salah satu tajuk EP Inggerisnya yang dirakamkan bersama EMI pada 1970).

Allahyarhamah Julie turut merakamkan beberapa EP berbahasa Melayu dan Inggeris bersama kumpulan The Emeralds.

Antara lagu Melayu yang popular dinyanyikan Allahyarhamah Julie antaranya Lambaian Kanda, Seruling Malam, Bunga Sakti, Apa Khabar, Miang Keladi dan Gambar Kenangan.

Beliau juga pernah merakamkan EP duet bersama rakan artis yang paling akrab dengannya iaitu Kartina Dahari @ Tina menerusi lagu seperti Cincin Kenangan, Marilah Bergembira, Burung Nuri dan Pulau Harapan.

Selain EMI, beliau juga pernah merakamkan beberapa EP bersama Mega Records yang berpangkalan di Singapura.

Sekalipun tidak lagi menyanyi secara aktif, namun beliau dilaporkan masih diundang untuk menjayakan persembahan korporat dan tertutup.

Malah, beliau juga menjalani hidup dengan tenang sebagai guru mengaji. Antara mereka yang menjadi anak muridnya adalah Allahyarhamah Seniwati Mariani, Shasha, Dian P Ramlee dan ramai lagi.

Sememangnya vokal dan kelunakan nyanyian Julie terus diingati, malah diakui peminat seluruh dunia.

Semuanya kini tinggal kenangan, jenazah Allahyarhamah

Julie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:30 AM