AUFAHANIE rakam semula lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah
AUFAHANIE rakam semula lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah
Norhayati Nordin

PERJALANAN kehidupan setiap orang sudah diatur cantik oleh Allah SWT, meskipun ada suka dan dukanya. Malah, di sebalik ketentuan takdir yang berlaku itu, pasti ada hikmah terbaik menanti untuk dinikmati.

Begitu juga dirasakan bakat baharu meningkat naik, Aufahanie, 20, akur dengan noktah ikatan perkahwinan ibu bapanya yang terlerai ketika dia masih kanak-kanak pada usia sembilan tahun.

Syukur membesar dalam keadaan baik-baik saja, penyanyi lagu Geming Jiwa ini menyifatkan kisah hidupnya yang pahit itu tetap ada hikmah perlu dihargai apabila dia masih berpeluang mengejar impian dalam kehidupan.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan ini walaupun ibu bapa membawa haluan masing-masing. Hubungan kekeluargaan tetap rapat sekali pun kadang-kadang saja saya bertemu ibu.

"Malah, ibu juga menjadi tempat rujukan saya dan berbincang ketika mahu membuat keputusan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda jurusan komunikasi massa pada tahun ini.

"Sebenarnya hampir setahun juga saya menangguhkan hasrat menyambung pengajian di universiti kerana mahu memberi fokus dan komitmen pada karier nyanyian," katanya yang juga bekas peserta Big Stage musim kelima (BS5).

Menurut pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar ini, dia bertekad memastikan pengajian ijazah itu dihabiskan berikutan pernah berhenti belajar sebelum ini disebabkan masalah peribadi.

"Saya tetap nak habiskan belajar kerana adik-beradik saya yang lain semuanya berpelajaran tinggi. Begitu juga dengan bapa saya yang kini menyambung pengajian dalam ijazah sarjana. Jadi, takkan saya yang muda ini tak belajar pula.

"Rasa janggal nanti sekiranya saya tidak tamatkan pelajaran. Apatah lagi, pelajaran amat penting dalam kehidupan," katanya pernah melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam dalam diploma muzik.

Berbicara single terbaharunya, Aufahanie berkata, dia gembira melancarkan lagu 'cover' Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah ciptaan Ajai dan lirik ditulis Musrad yang dirakamkan semula.

AUFAHANIE pilih sambung pengajian ijazah sarjana muda komunikasi massa.
AUFAHANIE pilih sambung pengajian ijazah sarjana muda komunikasi massa.

"Saya amat menghargai peluang dan kepercayaan diberikan abang Ajai untuk merakam semula lagu itu. Sejujurnya saya gementar dan bimbang juga dengan penerimaan pendengar, terutama peminat arwah Kak Siti Sarah.

"Apa pun, saya sudah merakamkan lagu Saat Hilang Cintamu dengan sebaik mungkin mengikut alunan vokal sendiri. Saya berusaha pastikan ia tidak sama dengan versi penyanyi asal. Bagi saya, Kak Siti Sarah ada keistimewaan vokalnya yang tersendiri.

"Memang cara nyanyian saya dan arwah Kak Siti Sarah tak sama pun dan saya gembira kerana mendapat sokongan positif daripada pendengar. Tujuan saya rakam semula lagu itu pun kerana melodi dan liriknya yang sedap, bukan sengaja nak tumpang nama arwah," katanya.

Melihat positif perkembangan karier nyanyiannya, Aufahanie berkata, dia juga bersedia menerima apa saja pandangan dan kritikan netizen di media sosial kerana baginya sesiapa ada hak menyatakan pendapat masing-masing.

Impian jadi kenyataan

Masih 'hijau' dalam industri hiburan iaitu kira-kira dua tahun, Aufahanie mengakui dia gembira apabila impiannya menyertai program realiti hiburan seperti Big Stage menjadi kenyataan pada tahun lalu.

Aufahanie yang mula mengatur langkah dengan menyertai program Vokal Mania pada 2022 berkata, walaupun pernah mendapat kecaman teruk daripada netizen, namun dia tidak patah semangat untuk mencuba.

"Selain Nuha Bahrin yang dikecam, saya pun kena (kecam) teruk juga ketika Vokal Mania itu. Tapi, saya tetap nekad beranikan diri mahu melangkah mencuba nasib dalam pertandingan Big Stage yang sudah lama diimpikan.

"Saya tak peduli pun apabila dikatakan tidak boleh menyanyi. Pada saya, biar masa menentukan dan dalam Big Stage itu disediakan juga guru dan kelas vokal. Jadi, sekarang saya akui lebih yakin untuk menyanyi," katanya.

Menurut Aufahanie yang mempunyai lima adik-beradik, dia juga melihat kebanyakan komen netizen yang diterimanya kini semakin baik dan sudah berkurang kecaman buruk.

"Apa yang penting teruskan usaha dan hargai peluang diperoleh. Itu yang akan saya lakukan dari semasa ke semasa, selain bersyukur urusan karier seni saya di bawah pengurusan Indigital Music," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:00 AM