JULIE Sudiro. FOTO Arkib NSTP
JULIE Sudiro. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, yang menerima rawatan di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor sejak 9 Januari lalu, meninggal dunia jam 9.30 malam tadi. 

Berita sedih itu dikongsikan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez ketika dihubungi Harian Metro. 

"Sebelum ini arwah ada menunjukkan tanda-tanda positif tapi tiba-tiba keadaannya tenat dan mengembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.30 malam tadi.

"Pemergian Julie adalah satu kejutan buat seluruh penggiat seni. Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya. 

Sementara itu, anak bongsu Allahyarhamah Julie, Jose Irmanto Sudiro Soliano,45, ketika dihubungi bagaimanapun belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan. 

"Bukan sekarang. Hubungi saya nanti," katanya ringkas menerusi kiriman WhatsApp. 

Pada 15 Januari lalu, media melaporkan keadaan kesihatan Julie semakin stabil selepas dimasukkan ke hosptal akibat paras oksigen menurun. 

Bagaimanapun Julie yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih memerlukan bantuan pernafasan. 

Dua tahun lalu, media melaporkan Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro menjalani hidup dengan tenang sebagai guru mengaji. 

Antara mereka yang menjadi anak murid penyanyi yang terkenal menerusi lagu jazz dan keroncong sejak 1960-an itu Allahyarham Seniwati Mariani, Shasha, Dian P Ramlee dan ramai lagi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:03 PM