BASIM Khandaqji. FOTO The National
BASIM Khandaqji. FOTO The National
AFP

Abu Dhabi: Penulis warga Palestin, Basim Khandaqji yang dipenjarakan 20 tahun lalu di Israel, memenangi hadiah berprestij untuk fiksyen Arab pada Ahad untuk novelnya, A Mask, the Color of the Sky.

Penganugerahan Hadiah Antarabangsa 2024 untuk Fiksyen Arab diumumkan pada satu majlis di Abu Dhabi, baru-baru ini.

Hadiah itu diterima bagi pihak Khandaqji oleh Rana Idriss, pemilik Dar al-Adab, penerbit buku yang berpangkalan di Lubnan.

Khandaqji dilahirkan di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki Israel pada 1983.

Dia disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas tuduhan berkaitan pengeboman maut di Tel Aviv, dan menamatkan pendidikan universitinya, secara dalam talian, dari dalam penjara.

Khandaqji menulis cerpen sehingga penahanannya pada 2004 ketika usia 21 tahun.

Perkataan Mask (topeng) dalam tajuk novel itu merujuk kepada kad pengenalan biru identiti seorang ahli arkeologi bernama Nur yang tinggal di kem pelarian di Ramallah, ditemukan dalam poket kot lama milik warga Israel.

Buku Khandaqji dipilih daripada 133 karya yang dihantar ke pertandingan itu.

Ketua juri, Nabil Suleiman berkata, novel itu 'membedah' realiti yang kompleks dan pahit mengenai perpecahan keluarga, perpindahan, pembunuhan beramai-ramai dan perkauman.

Sejak dipenjarakan Khandaqji menulis koleksi puisi termasuk Rituals of the First Time dan The Breath of a Nocturnal Poem. Terdahulu, dia juga menulis tiga novel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 11:30 AM