MUHAMMAD Azrul Izzham mengendalikan dron untuk memantau kawasan kebakaran hutan sekitar daerah Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MUHAMMAD Azrul Izzham mengendalikan dron untuk memantau kawasan kebakaran hutan sekitar daerah Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut mengambil inisiatif menerbangkan dron setiap pagi bagi memantau kawasan berisiko berlaku kebakaran hutan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, antara lokasi pemantauan melalui udara itu ialah Kampung Paya Rawa, Benting Lintang, Kampung Amir dan Gong Medan.

Katanya, jika mereka mengesan terdapat kepulan asap melalui pemantauan itu, tindakan segera menghantar anggota serta jentera ke lokasi dilakukan.

"Mengikut statistik sebanyak 152 kes kebakaran direkodkan berlaku sekitar Besut sejak Januari hingga kini.

"Jumlah itu membabitkan pelbagai jenis kebakaran seperti kebakaran belukar, kebakaran hutan paya gambut dan kebakaran rumah.

"Berdasarkan statistik, jumlahnya agak tinggi serta membimbangkan. Kita harap orang ramai tidak melakukan pembakaran secara terbuka," katanya ketika ditemui di BBP Besut, di sini, hari ini.

Katanya, penggunaan dron juga membantu untuk pemantauan awal sebelum operasi kebakaran dilakukan selepas mengenalpasti lokasi kejadian.

"Penggunaan dron membolehkan tindakan segera diambil sebelum kebakaran merebak lebih luas.

"Dron juga digunakan untuk melakukan tinjauan susulan selepas kebakaran dipadam bagi mengelakkan ia kembali di tempat sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 11:29 AM