Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal (kanan) bersama Barton Allen-Hall (tiga dari kanan) dan Stepha Dryfout yang muncul juara Kejohanan Memanjat Pokok Asia Pasifik 2024 (APTCC) di Kelab Golf Diraja Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal (kanan) bersama Barton Allen-Hall (tiga dari kanan) dan Stepha Dryfout yang muncul juara Kejohanan Memanjat Pokok Asia Pasifik 2024 (APTCC) di Kelab Golf Diraja Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Juara memanjat dunia, Barton Allen-Hall dari Australia membuktikan kebolehan apabila muncul juara kategori lelaki Kejohanan Memanjat Pokok Asia Pasifik 2024 (APTCC) di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini, semalam.

Peserta dari New Zealand, Stepha Dryfout pula tampil cemerlang untuk mengungguli kategori wanita.

Seramai 51 peserta daripada sembilan negara termasuk Malaysia bersaing pada pertandingan julung kali diadakan di negara ini

Untuk rekod Allen adalah juara kejohanan memanjat pokok dunia tahun lalu yang diadakan Mexico dan pada 2022 di Denmark.

Menurut Allen, dia amat gembira dengan pencapaian pada kejohanan memanjat pokok Asia Pasifik kali ini yang begitu mencabar terutama apabila terpaksa bersaing dengan ramai peserta antarabangsa.

Katanya, pertandingan kali ini begitu menguji kemahiran peserta apabila terpaksa memanjat pokok tembusu yang dianggap menarik dan unik.

Menurutnya, pokok berkenaan banyak terdapat dahan dengan kulit yang keras.

"Malaysia amat sesuai dijadikan gelanggang pertandingan memanjat pokok kerana terdapat banyak spesies pokok pelbagai saiz untuk dijadikan medan menguji kebolehan peserta. Hutan di sini begitu menarik dan tidak terdapat di tempat lain.

"Saya berharap selepas ini pertandingan memanjat pokok Asia Pasifik dapat terus diadakan di negara ini dalam usaha mempopularkan lagi acara berkenaan seterusnya dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong," katanya.

Dia berkata demikian pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan memanjat pokok Asia Pasifik yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM), Nik Ikmal Fathi Nik Husain Fathi.

Pertandingan julung kali diadakan di negara ini dianjurkan oleh International Society of Arboriculture (ISA) dengan kerjasama PArM dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) serta disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selain peserta dari Malaysia, pertandingan turut menerima penyertaan dari Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea, Thailand, Singapura, Australia dan New Zealand.

Tahun lalu acara berkenaan diadakan di Singapura.

Sementara itu, Stepha berkata, dia tidak menyangka percubaan kali ini memberi kejayaan yang begitu membanggakan dan saingan pencabar dari Thailand, Taiwan serta Hong Kong dapat diatasi dengan berkesan.

"Ujian seterusnya selepas ini apabila berpeluang menyertai pertandingan memanjat pokok antarabangsa di Amerika Syarikat pada Oktober depan yang akan menguji kebolehan sebenar peserta.

"Saya tertarik melihat banyak pokok di sini yang dapat mengindahkan dan menceriakan lagi kawasan," katanya yang bercadang untuk datang lagi ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 12:17 PM