JULIE bersama Kamal.
JULIE bersama Kamal.
KENANGAN bersama Allahyarham Kartina Dahari (kiri).
KENANGAN bersama Allahyarham Kartina Dahari (kiri).
Nor Akmar Samudin

Di sebalik nama gah Julie Sudiro, mungkin tiada siapa yang benar-benar tahu siapakah yang memberikan nama komersial itu kepada penyanyi lagu pop, keroncong dan jaz handalan itu?

Menerusi pencarian di Internet, ada yang menulis namanya itu diberikan oleh seorang pengurus kelab malam di Orchard, Road, Singapura.

Lalu soalan itu terus ditanya kepadanya ketika menemubualnya kelmarin. Pantas saja beliau membuka cerita lama.

“Tidak ramai tahu siapa yang berikan nama saya Julie. Ada yang kata pengurus kelab malam, tapi saya malas mahu menegur penulisnya, hanya biarkan sajalah.

“Sebenarnya nama Julie itu diberikan oleh seorang pengunjung kelab malam di Singapura yang berasal dari Britain iaitu Dr Ross. Orangnya sudah berusia dan dia pengunjung setia tempat saya menyanyi. Saya pun tak kenal sangat dengan Dr Ross kerana saya menyanyi bukan mencari glamor atau populariti, tetapi mencari rezeki membantu bapa menanggung keluarga kerana ketika itu (1960-an), industri perfileman di Singapura kurang mendapat sambutan.

“Bapa saya, Radin Sudiro adalah pelakon dan pelawak bangsawan. Dr Ross rapat dengan mereka yang bekerja di kelab malam itu termasuk pemuzik yang mengiringi saya menyanyi. Mungkin dia sukar nak menyebut nama sebenar saya, Juariah, lalu dipanggilnya Julie dan sejak itu semua orang di kelab panggil saya Julie. Sudiro pula memang nama bapa kandung saya,” katanya kepada BLING!

Hakikatnya nama sebenar Julie ialah Radin Juariah Radin Sudiro.

Menurut, Julie meskipun dia perlu menyanyi untuk mencari wang, tetapi beliau tidak mengabaikan pelajaran kerana baginya ilmu sangat penting.

“Siang saya bersekolah dan malam menyanyi. Saya bersekolah sehingga tingkatan lima, tetapi zaman itu sudah dikira cukup tinggi. Tamat sekolah saya terus menyanyi kerana itu bakat yang dianugerahkan Allah SWT kepada saya “ katanya yang cukup terkenal dengan lagu Apa Khabar, Hanya Semalam dan Miang Keladi.

Tak pantang jaga suara

Jika ada penyanyi yang mengamalkan pelbagai pantang larang untuk menjaga suara, Julie pula lain.

“Saya tiada petua menjaga suara. Ia adalah anugerah yang Allah SWT bagi pada saya,” katanya.

Selepas 40 tahun menyanyi di kelab malam, beliau akhirnya berhenti.

“Cukuplah setakat itu dan saya hanya menerima undangan membuat persembahan pada acara tertutup seperti majlis korporat. Sekarang saya mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran.

“Alhamdulillah, walaupun saya ada darah tinggi dan kolesterol tetapi terkawal. Saya kini tinggal bersama anak dan sudah ada tujuh cucu. Saya bahagia dan gembira dengan kehidupan sekarang,” katanya yang dulu sering berduet dengan Biduan Zain Azman

Namun begitu, Julie sempat meluahkan apa yang terpendam di hatinya mengenai dunia hiburan tanah air.

“Jika di luar negara, penyanyi seperti saya masih laris. Orang dalam industri kita lebih memandang usia dan rupa, bukannya pada bakat yang ada. Tetapi saya tak mahu memikirkannya sangat kerana tidak mahu menjejaskan minda dan kesihatan. Sudah dua tiga tahun tiada undangan menyanyi,” katanya dengan nada berbeza.

Jika ada kelapangan dia akan pergi melawat saudara-mara sebelah ayahnya nya di Indonesia.

Julie mendirikan rumah tangga dengan pemuzik jaz terkenal, Tony Soliano. Mereka dikurniakan dua anak lelaki - Rindra Soliano dan Jose Irmanto Soliano.

Selepas suaminya meninggal dunia pada 1990-an, Julie terus hidup bersendirian sambil membesarkan dua anaknya.

Julie sering mendapat undangan membuat persembahan daripada Almarhum Sultan Mahmud Iskandar dan bagindalah yang menganugerahkan gelaran Datin Paduka kepada beliau pada 2006.

Mengimbas semula kehebatan Julie sebagai penyanyi, Salamiah Hassan, 66, yang menganggap Julie adalah mentornya, menyamakan kehebatan nyanyian biduanita itu setaraf bintang jaz legenda antarabangsa Ella Fitzgerald.

Peminat tak lupakan Julie

Walaupum Julie tidak seaktif dulu, peminat tidak pernah melupakannya. Pada Februari lalu, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pernah mengundangnya ke Wacana Seni - Sepanjang Jalur Kenangan VI: Irama Jalinan Mesra Bersama Datin Paduka Julie Sudiro.

Insan yang bertanggungjawab membawa Julie ke Dewan Seminar FITA 1, UiTM, Kampus Puncak Perdana adalah peminat tegar dunia hiburan tanah air iaitu Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin yang juga pensyarah di fakulti terbabit.

Menyelami dasar hati Kamal yang amat menghargai setiap sumbangan Julie terhadap dunia hiburan tanah air, beliau juga meletakkan kedudukan penyanyi pujaannya itu setaraf Ella Fitzgerald dan Sarah Vaughan.

“Hanya Datin Paduka Julie yang mampu menyanyikan lagu jaz sehebat dua penyanyi antarabangsa itu. Kehebatan vokalnya juga boleh mengalunkan lagu keroncong dengan baik sekali. Tidak pernah jemu saya mendengar suaranya.

“Saya bukan saja mengagumi bakat seninya, tetapi ketabahannya mengharungi kehidupan seawal usianya 13 tahun lagi. Menghitung dan mengira setiap langkahnya dalam bidang seni yang tiada galang gantinya itu, sepatutnya Datin Paduka Julie menerima penghargaaan yang lebih besar.

“Janganlah segala penghargaan dan pengiktirafan itu diberikan kepada artis yang berjasa selepas hayat mereka tiada lagi,” katanya.

Menurut Kamal, fakulti terbabit menjemput Julie untuk berkongsi kisah hidupnya dengan pelajar agar mereka dapat menjadikan pengalaman beliau sebagai sumber inspirasi untuk menjadi insan seni cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:10 AM