SHUIB titipkan lagu Tinggalkan Diriku buat arwah Siti Sarah dalam muzik video.
SHUIB titipkan lagu Tinggalkan Diriku buat arwah Siti Sarah dalam muzik video.
Sudirman Mohd Tahir

Pemergian isteri tercinta Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin memberi kesan yang cukup mendalam terhadap diri pelawak dan pelakon popular, Shuib.

Malah, selepas lebih 100 hari pemergian Siti Sarah, Shuib mengakui masih sukar untuk 'move on' kerana sering terkenang selain sentiasa merindukan Allahyarhamah isterinya.

Satu tarikh yang akan dikenang oleh Shuib sampai bila-bila. Pastinya kehilangan itu juga meninggalkan kenangan yang teramat sukar untuk dilalui.

Kehilangan itu meninggalkan rasa sepi, kosong dan bagaikan hilang seluruh jiwa mencengkam sanubari lelaki ini yang hanya bertemankan suara dan air mata sejak tarikh itu.

"Enam hari selepas pemergian isteri, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakamkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018.

"Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu ini. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan-akan sudah tahu apa yang bakal berlaku. Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang," katanya.

MV lagu Tinggalkan Diriku yang dititipkan khas Shuib buat arwah isteri.
MV lagu Tinggalkan Diriku yang dititipkan khas Shuib buat arwah isteri.

Rentetan daripada itu, Shuib mengabadikan lagu Tinggalkan Diriku yang dicipta Aidit Alfian ke dalam sebuah muzik video (MV) sebagai tanda cinta kepada bidadari syurganya.

Lagu ini dirakamkan pada 2002 dan dilancarkan pada 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

"Dalam MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama arwah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk 'ditidurkan'.

"Ini adalah detik paling sukar dalam hidup saya sebagai suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan itu adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak," katanya.

Lagu Tinggalkan Diriku sudah berada di semua platform digital bermula kelmarin dan MV pula disiarkan melalui saluran YouTube Shuib Channel pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:20 AM