EV mini melalui jalan di Liuzhou di wilayah selatan Guangxi, China. FOTO AFP
EV mini melalui jalan di Liuzhou di wilayah selatan Guangxi, China. FOTO AFP
AFP

Beijing: Pemandu di China yang menukar kereta lama untuk model baharu layak mendapat subsidi sehingga 10,000 yuan (kira-kira RM6,587), menurut pengumuman Kementerian Perdagangan China.

China adalah pasaran terbesar dunia untuk kereta dan yang paling kompetitif dalam sektor kenderaan elektrik (EV), dengan lebih 100 syarikat tempatan bersaing untuk menghasilkan kereta masa depan yang bersih.

Tetapi kelembapan ekonomi menjejaskan perbelanjaan pengguna dan mencetuskan perang harga antara pengeluar, menjejaskan keuntungan mereka.

Untuk meningkatkan permintaan, Beijing menawarkan subsidi kepada pemandu yang menukar EV atau hibrid yang didaftarkan sebelum 2018, atau kereta berkuasa petrol yang tidak memenuhi piawaian pelepasan nasional tertentu.

Mereka yang menggantikan kenderaan yang dibeli selepas 2018 akan layak mendapat subsidi AS$960 (kira-kira RM4,582), kata kementerian perdagangan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Langkah itu, berkuat kuasa sehingga akhir tahun, khusus kepada semua pembelian EV atau hibrid baharu.

Pengumumannya bertepatan dengan Pameran Auto China, di mana jenama China mencuri perhatian daripada pengeluar-pengeluar asing yang bergelut untuk membuat peralihan kepada EV.

Keputusan itu juga dibuat ketika pembuat kereta China menghadapi penelitian yang lebih tinggi di banyak negara Barat.

Suruhanjaya Eropah juga sudah melancarkan penyiasatan subsidi negara China untuk sektor EV dan mengancam untuk mengenakan surcaj kastam untuk melindungi pasaran Eropah.

Amerika Syarikat (AS) secara amnya menentang subsidi itu yang difikirkannya akan membawa kepada pengeluaran 'lebih kapasiti' dan menjejaskan persaingan global.

Washington juga bimbang mengenai potensi risiko keselamatan negara, yang ditimbulkan oleh kenderaan China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 12:17 PM