LAGU Jangan Lepas Tanganku kini boleh didengari di semua pelantar digital.
LAGU Jangan Lepas Tanganku kini boleh didengari di semua pelantar digital.
Zaara Talita


KOMPOSER berpengalaman Ammar Habir mengilhamkan lagu yang didedikasikan sepenuhnya kepada isteri dan anak perempuan kesayangannya untuk menghasilkan lagu Jangan Lepas Tanganku nyanyian Sufi Rashid.

Ammar yang mendapat kerjasama kugiran Faris Fuad dan Jad Lobo menghasilkan karya berkenaan ketika berdepan detik sukar.

"Idea lagu ini lahir pada 2019 ketika saya dalam kesusahan. Ketika itu, isteri saya sarat mengandung dan tidak bekerja. Demi keluarga tersayang terutama anak saya yang bakal dilahirkan, saya 'busking' di tepi jalan dan bekerja di hotel setiap hari sehingga lewat malam.

"Alhamdulillah, segala rintangan dihadapi dengan penuh kecekalan untuk dua insan tersayang saya ini. Mereka adalah segalanya untuk saya. Harapan saya supaya lagu ini diterima oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira usia." katanya.

Sementara itu, Sufi yang terkenal dengan penampilan bersuara lunak dan lantang berkata, lagu sentimental Jangan Lepas Tanganku adalah kolaborasi antara Alternate Music Sdn Bhd dan Global Keynote Sdn Bhd.

Menurutnya, lirik dan susunan muziknya yang menarik membuatkan ia dipilih menjadi lagu runut untuk drama terbitan TV3 iaitu menerusi slot Akasia Terima Kasih Cinta lakonan Anna Jobling, Amar Baharin dan Rita Nadira.

Sufi penyanyi kelahiran Singapura ini menzahirkan kesyukuran selepas setahun tanpa 'buah tangan' baharu apabila diberikan kepercayaan dan kesempatan menyanyikan lagu tema OST khususnya daripada Alternate Records dan Global Keynote.

SUFI bersyukur diberikan kepercayaan dan kesempatan menyanyikan lagu tema OST.
SUFI bersyukur diberikan kepercayaan dan kesempatan menyanyikan lagu tema OST.

"Kolaborasi dengan Ammar sangat mudah kerana kami berkongsi kreativiti serta idea untuk membuatkan lagu itu lebih baik.

"Saya berharap peminat dapat menerima lagu OST yang dinyanyikan khas untuk anda semua dan Insya-Allah saya berharap lagu ini menjadi 'batu loncatan' untuk membuat kemunculan semula," kata Pemenang Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 itu.

Lagu Jangan Lepas Tanganku kini boleh didengari di semua pelantar digital dan muzik video dapat ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:20 AM