AMMAR tak sangka Ku Tak Mahu Cinta nyanyian Allahyarhamah Sandra kembali hit di media sosial.
AMMAR tak sangka Ku Tak Mahu Cinta nyanyian Allahyarhamah Sandra kembali hit di media sosial.
Syafil Syazwan Jefri


Platform media sosial seperti TikTok kini menjadi medan untuk lagu lama membuat kemunculan semula. Antaranya lagu berjudul Ku Tak Mahu Cinta nyanyian Allahyarhamah Sandra Dianne.

Di TikTok, lagu itu digunakan sebagai lagu latar untuk pelbagai hantaran kandungan dan sehingga kini mencecah angka hampir 100,000 hantaran.

Penciptanya, Ammar Habir berkata, dia sendiri tidak pernah menyangka lagu itu akan menempa namanya semula di media sosial, sekali gus mengumpul pendengar baharu.

"Lagu itu dilancarkan pada 2016, tapi sebenarnya kalau nak diikutkan saya dah hasilkannya cukup lama iaitu ketika saya berada di tingkatan empat.

"Jadi, pada 2016 baru saya berjumpa penyanyi yang paling sesuai menyanyikannya iaitu Sandra. Lagu itu rentaknya 'catchy' dan saya rasa karakter vokal Sandra sangat bersesuaian.

"Bila lagu itu tular semula di TikTok, saya terkejut sebab saya tak ada akaun TikTok. Pertama kali saya dapat tahu lagu itu mula 'naik' semula adalah selepas rakan saya di Instagram memuat naik hantaran menggunakan lagu itu sebagai lagu latar," katanya.

Ditanya mengenai kenangan bekerjasama dengan Sandra, Ammar yang juga bekas anggota kumpulan Drama Band berkata, ia antara kerjasama yang sangat mudah.

"Sandra ini orangnya jujur. Senang untuk berbicara dan berbincang dengannya. Kalau dia kata okay, maksudnya okay. Dia bukan jenis orang yang suka cakap belakang atau apa.

"Nak minta dia menyanyi pun, dia berikan kerjasama dengan sangat mudah. Saya rasa kalau dia masih ada, mesti dia sangat gembira kerana lagu ini naik semula dan dikenali ramai pendengar baharu," katanya.

AMMAR bersama Allahyarhamah Sandra.
AMMAR bersama Allahyarhamah Sandra.

Sandra meninggal dunia pada 11 September 2020 di Hospital Putrajaya selepas terbabit kemalangan pada 5 September 2020.

Bergelar suami kepada penyanyi, Sheila Abdull, Ammar kini memilih untuk menetap di Johor Bahru bersama keluarga kecilnya dan meneruskan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

"Saya kini menetap di Johor Bahru, jadi kerja seni kebanyakannya berkisar mengenai penghasilan lagu dan sebagainya. Kebanyakan proses kerja juga dilakukan secara dalam talian kerana lebih mudah.

"Untuk kerja hakiki saya, saya dah tak jadikan kerja seni sebagai keutamaan lagi, sebaliknya lebih fokus kepada perniagaan. Tapi, kalau ada tawaran untuk hasilkan lagu, saya masih buat.

"Kali terakhir, saya hasilkan lagu untuk Sufie Rashid berjudul Jangan Lepas Tanganku. Ia adalah lagu OST untuk drama bersiri Terima Kasih Cinta.

"Istimewanya lagu ini juga adalah, saya hasilkannya untuk anak pertama saya, Chempaka. Jadi, ia menjadi antara detik terindah yang mana saya diberikan ilham untuk hasilkan lagu ini.

"Ada juga yang ajak saya untuk tampil di pentas membuat persembahan, tapi saya terpaksa tolak kerana fokus saya sekarang kepada perkara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 6:20 AM