Penangan Ejay Samudera, Ramlie Dayana, Afee U-topia, Dwan Olan, Yazid Sejati, Blank Gamma dan Burn Meditasi
Penangan Ejay Samudera, Ramlie Dayana, Afee U-topia, Dwan Olan, Yazid Sejati, Blank Gamma dan Burn Meditasi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Hantaran di Facebook berjaya mencatat 24,000 tanda suka dalam tempoh sehari dimuat naik dan 4,500 perkongsian dengan setengah juta tontonan. Ia berjaya mencipta trending dan tular sejak semalam. Manakala hantaran di TikTok sudah mendapat lebih 1.5 juta tontonan.

Itulah penangan vokalis rock otai terdiri daripada Ejay Samudera, Ramlie Dayana, Afee U-topia, Dwan Olan, Yazid Sejati, Blank Gamma dan Burn Meditasi apabila video TikTok mereka menjadi tular di media sosial.

Malah rata-rata pengikut media sosial terhibur melihat video. Namun tidak kurang juga ada yang sebak dan mengalirkan air mata melihat penyanyi yang pernah menghiburkan mereka suatu ketika dulu, semakin uzur dimakan usia terutamanya Dwan Olan yang masih belum pulih sepenuhnya dari serangan angin ahmar.

Afee yang menghasilkan video ini untuk TikToknya berkata, dia berterima kasih dengan peminat yang masih menyayangi mereka.

"Kami otai-otai pernah singgah dihati anda dan terima sentiasa menyokong kami. Juga terima kasih atas doa-doa kalian semua.

"Semoga Allah berkati sesama kita. Amin. Jangan lupa ramai-ramai terus follow tiktok afee utopia," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut Afee berkata, video ini dirakam secara spontan semasa mereka terbabit dalam mesyuarat untuk Malaysia Rock Lejen Fan Club.

"Kami tiada tempat nak mesyuarat. Alhamdulillah kawan kepada Ejay Samudera tawarkan sebuah villa Batang Kali, Selangor.

"Semalam sewanya sahaja dah RM2,500. Tapi dia sediakan secara percuma kepada kami. Dapatlah kami bermesyuarat pelbagai isu di situ.

"Banyak perkara yang dicapai antaranya ada satu pihak nak taja kami buat konsert. Malah kami juga akan daftar nama ini tapi mungkin ditukar kepada nama lain," katanya.

Menurutnya, kemungkinan juga mereka akan menggunakan nama Persatuan Rock Otai Legenda untuk gabungan ini.

Insya Allah kami akan buat satu siri pengenalan di ibu kota dalam masa terdekat.

"Kami juga akan cari mana-mana penaja untuk kami buat konsert macam Konsert Otai Legenda di Istana Budaya sebelum ini. Sesiapa yang berminat dialu-alukan.

"Sambil-sambil berkumpul di situ, kami pun mandi manda dan saya terfikir pula trend sekarang di mana orang menyanyi satu lagu secara bergilir. Tapi apa salahnya kami buat lain sikit.

"Jadi kami menyanyi sikit bahagian lagu popular kami dan kemudian terjun kolam. Tak sangka jadi trending dan viral semalam. Malah ada yang macam berminat nak taja konsert kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 7:24 PM