Awie (tiga dari kiri) bersama empat anggota Wings mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini. Foto dari Instagram
Awie (tiga dari kiri) bersama empat anggota Wings mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini. Foto dari Instagram
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Vokalis Wings, Datuk Awie meluahkan kebimbangan tidak dapat memberikan persembahan terbaik pada konsert yang dijadualkan lusa berikutan baru sembuh daripada Covid19 dan Influenza.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 54, berkata dia disahkan dijangkiti kedua-dua virus dalam perjalanan pulang selepas mengerjakan umrah baru-baru ini.

"Alhamdulillah keadaan saya sudah semakin baik selepas mendapatkan rawatan dan saya kini sudah sihat. Namun, saya masih dalam proses pemulihan. 

"Cuma, saya bimbang menghadapi dua persembahan besar yang bakal berlangsung hujung minggu ini. Saya risau keadaan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya menganggu prestasi. 

"Bagaimana pun, persembahan ini perlu diteruskan memandangkan sebelum ke Tanah Suci lagi saya sudah bersedia fizikal dan mental untuk sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Harian Metro. 

Mengakui ini kali kedua dijangkiti Covid-19, namun disebabkan dia dijangkiti Influenza pada masa yang sama mengakibatkan demam hingga menggigil satu badan selain masalah tekak.

Berkongsi mengenai dua konsert besar itu, katanya dia teruja menunggu peluang berkongsi pentas dengan tiga lagi rakan seangkatan iaitu Ella, Mus May dan gitaris otai, Man Kidal.

"Konsert pada Jumaat ini nanti bakal menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya (IB) menjadi manifestasi kepada keunggulan dan sumbangan besar genre rock dalam 'katalog' muzik tempatan.

"Saya juga sudah bersedia bersama Wings di PJ International Folklore Festival pada Sabtu ini. Saya tahu peminat tertunggu-tunggu kemunculan Wings yang diadakan secara percuma itu" katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:42 PM