Mohamed Farid Noh

MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, sekali lagi menegaskan kematian murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, adalah bukan kerana jangkitan influenza.

Dr Sahruddin berkata, berdasarkan ujian yang dilakukan pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA), keputusan yang didapati adalah negatif Influenza A.

"Kita berpandukan ujian data klinikal daripada Hospital Sultanah Aminah memang negatif. Jadi kenyataan kita berpandukan HSA.

"Kalau dari (hospital) swasta, saya tidak mahu komen, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), hari ini.

Penegasan itu dibuat berikutan kekecewaan keluarga Nur Dinie Damia yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas penafian kerajaan Johor dan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap dakwaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai itu positif influenza.

DR Sahruddin (kiri) beramah mesra dengan penderma darah pada Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di Paradign Mall Johor Bahru.FOTO Mohd Azren Jamaludin
DR Sahruddin (kiri) beramah mesra dengan penderma darah pada Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di Paradign Mall Johor Bahru.FOTO Mohd Azren Jamaludin

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan ujian sampel klinikal terhadap Nur Dinie yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA adalah negatif bagi jangkitan influenza.

Sebelum ini punca sebenar kematian Nur Dinie menimbulkan tanda tanya apabila EXCO Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, mengesahkan kanak-kanak itu dijangkiti influenza pada sidang media di Jabatan Kesihatan Johor sebelum ia dinafikan Dr Sahruddin.

Nur Dinie, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di HSA pada 10.48 malam, Isnin lalu.

Dia sebelum ini mendapatkan rawatan di HSA sejak 10 Januari selepas disyaki dijangkiti influenza, namun disahkan negatif daripada penyakit itu petang Ahad.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, dekat Pontian, Selasa lalu.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin turut menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan jangkitan influenza yang sedang melanda ketika ini.

Beliau berkata, influenza adalah satu penyakit yang biasa akan melanda terutamanya pada hujung tahun .

"Influenza ataupun selsema adalah kes yang biasa terutamanya pada bulan November hingga Mac berikutan keadaan cuaca dan masyarakat kita akan melancong pada hujung tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 4:43 PM