WINGS berjanji akan menghiburkan peminat menerusi persembahan berkonsep Ceritera Rakyat.
WINGS berjanji akan menghiburkan peminat menerusi persembahan berkonsep Ceritera Rakyat.
Ridzuan Abdul Rahman


DIIKUTKAN persembahan kumpulan Wings menerusi Konsert Naga Kramat pada 22 Oktober lalu di ibu kota adalah aksi terakhir mereka di Lembah Kelang sebagai penutup tahun 2022.

Bagaimanapun, kumpulan legenda yang dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Edrie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) ini terpaksa akur dengan permintaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjayakan satu lagi persembahan.

Mereka tidak mahu menghampakan permintaan Datuk Bandar, Mohammad Azhan Md Amir untuk terbabit dalam persembahan Ceritera Rakyat yang akan berlangsung di Dataran Petaling Jaya dan Pusat Bandar Seksyen 52 Petaling Jaya.

Program ini adalah bersempena Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) yang diadakan pada 28 November lalu (kelmarin) hingga 4 Disember depan.

"Wings rasa cukup teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat secara percuma pada konsert itu nanti.

"Jadi, kepada mereka yang ingin berhibur bersama kami, jangan lupa untuk datang ke Dataran Petaling Jaya pada 3 Disember nanti, pukul 9 malam," kata Wings yang kini berada di Makkah sejak 16 November lalu untuk mengerjakan umrah.

Sementara itu, Mohammad Azhan pula berkata, mereka meletakkan kepercayaan kepada Wings sebagai daya penarik untuk pengunjung bagi bersama-sama hadir meraikan festival terbesar ini.

"Kami menjemput Wings untuk menjayakan persembahan yang dipanggil Wings Ceritera Rakyat kerana yakin dengan keupayaan bakat kumpulan muzik legenda ini dapat menarik minat orang ramai untuk hadir.

"Wings akan melakukan konsert secara percuma pada 3 Disember depan bertempat di Dataran Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall.

"Saya percaya masyarakat di Petaling Jaya serta sekitarnya akan hadir beramai-ramai ke persembahan ini. Malah, saya sendiri adalah peminat mereka," katanya.

Turut ditampilkan nanti ialah wayang kulit Pok Chu, persembahan kebudayaan rakyat dan dikir barat oleh pelawak dan pengacara, Issey Fazlisham.

PJ Folklore 2022 mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa, perkongsian ilmu serta ketamadunan pelbagai negara luar, termasuk memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara lain.

Festival yang turut membabitkan penyertaan kebudayaan dan pameran dari beberapa negara luar itu turut membawakan pelbagai acara percuma seperti PJ Fight Night, Pocket Show dan Asian Food Festival, Antara negara luar yang turut serta dalam PJ Folklore 2022 ialah Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan.

MOHAMMAD Azhan menyeru masyarakat hadir beramai-ramai ke PJ Folklore 2022.
MOHAMMAD Azhan menyeru masyarakat hadir beramai-ramai ke PJ Folklore 2022.

Penyertaan dalam negara pula menyaksikan wakil dari 10 negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Menurut Mohammad Azhan lagi, penganjuran PJ Folklore 2022 bertujuan mempromosikan bandaraya Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa.

"Ia sebuah program yang dirangka oleh majlis untuk menghidupkan semula pusat bandar di Seksyen 52, selain sebagai usaha membangunkan Bandar Raya Petaling Jaya sebagai 'city with soul'.

"PJ Folklore 2022 juga memfokuskan usaha untuk mewujudkan ruang interaksi sosial dalam kalangan penghuni bandar," katanya.

Sehubungan itu, acara PJ Folklore 2022 menyasarkan penyertaan peserta dan pengunjung seramai 30,000 orang berdasarkan usaha sama antara MBPJ dengan beberapa pihak lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, International Council of Organizations of Folklore Festival and Folk Arts dan PelanconganSelangor.

"Selain itu, penganjuran PJ Folklores 2022 juga menjadi antara agenda Petaling Jaya untuk dilabel sebagai status bandar raya mampan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:23 AM