BEBANAN kewangan akibat hospital atau penjagaan penyakit juga boleh ditangani dengan baik.
BEBANAN kewangan akibat hospital atau penjagaan penyakit juga boleh ditangani dengan baik.
Nurul Husna Mahmud


Sebut saja Influenza, ramai beranggapan penyakit itu mudah menjangkiti kanak-kanak berikutan kenaikan kes membabitkan golongan itu kerap dilaporkan media.

Sedangkan golongan lebih berisiko dan boleh menyebabkan komplikasi sehingga kehilangan nyawa adalah membabitkan warga emas.

Berdasarkan populasi di Malaysia, dianggarkan tidak kurang 3.5 juta rakyat Malaysia dari kategori warga emas berisiko terdedah pelbagai komplikasi andainya dijangkiti Influenza.

Memahami mengenai Influenza itu sendiri, cabarannya adalah penularan virus yang mana boleh merebak dengan menjangkiti individu menerusi titisan (droplet) yang mencemari permukaan apabila disentuh.

Biasanya kontak berlaku apabila individu yang mempunyai virus dalam saluran pernafasan tersebar ketika bercakap, batuk atau bersin.

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat AS mendapati 70 peratus kes Influenza membabitkan warga emas yang terpaksa dirawat di hospital dan kematian pula mencecah angka 85 peratus.

Penekanan dalam menangani serangan Influenza sewajarnya lebih proaktif membabitkan pencegahan menerusi program vaksin secara tahunan untuk golongan itu selain langkah penjagaan kebersihan diri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunesi4LIFE (IFL), Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, risiko Influenza lebih meningkat terutama pada warga emas yang mempunyai pelbagai sejarah penyakit.

"Mereka yang menghidap Influenza biasanya menyebabkan rasa pening disusuli kerap rebah.

"Selain itu, dalam keadaan yang lebih serius boleh mengakibatkan gangguan pernafasan dan menjadi komplikasi seperti radang paru-paru, keradangan otak, kegagalan fungsi organ atau sepsis akibat tindak balas sistem imun melampau terhadap jangkitan.

"Kesan itu berganda apabila melihat kepada keadaan warga emas yang berdepan sistem imun lemah dan fungsi paru-paru merosot akibat peningkatan usia.

"Apatah lagi dengan statistik golongan ini yang kebanyakannya menderita pelbagai penyakit seperti kencing manis dan jantung," katanya ketika pelancaran Kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 Tahun di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut beliau, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi 2019 juga melaporkan kira-kira dua juta warga emas menderita penyakit antaranya diabetes, hipertensi dan hiperkolestrolmia yang meningkatkan lagi risiko komplikasi penyakit apabila diserang Influenza.

"Berbanding individu yang tidak menghidap diabetes, penghidap diabetes adalah enam kali ganda lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital serta tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami kematian akibat komplikasi berkaitan Influenza.

"Bagi orang dewasa yang berumur lebih 40 tahun tanpa sejarah penyakit kardiovaskular, keadaan itu boleh mencetuskan serangan jantung atau strok dalam tempoh tiga hari pertama jangkitan Influenza.

"Risiko untuk serangan jantung boleh meningkat hingga 10 kali ganda selain lapan kali ganda untuk serangan strok.

"Bayangkan individu yang lebih tua mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung atau penyakit jantung yang lain, serangan Influenza boleh menjadi terlalu teruk untuk ditangani tanpa perlindungan seperti vaksin," katanya.

Kata Dr Zulkifli, mengambil sikap 'sudah terkena baru merawat' tidak lagi ideal dalam menangani Influenza bagi warga emas.

"Bagi warga emas, vaksinasi Influenza secara berkala (tahunan) lebih terbukti membantu mengurangkan risiko perlu dirawat di hospital dan kematian yang berkaitan Influenza iaitu sebanyak lebih 40 peratus.

"Suntikan tahunan juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok sebanyak 30 peratus, kegagalan jantung 22 peratus dan serangan jantung 19 peratus.

"Vaksinasi Influenza juga membantu pesakit jantung dengan mengurangkan sehingga 36 peratus kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama. Risiko kematian sebanyak 18 peratus dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung.

"Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akut dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45 peratus," katanya.

Langkah pencegahan seperti pengambilan vaksin, membantu meningkatkan kualiti hidup apabila risiko Influenza dapat dikurangkan.

"Berbanding memikirkan komitmen iaitu pengambilan vaksin setiap tahun sesuatu remeh, warga emas perlu memandang jauh. Fikirkan situasi terlantar di atas katil untuk jangka panjang akibat serangan Influenza.

"Keadaan ini mungkin menjadi penyebab kehilangan fungsi atau kekuatan otot apabila terdedah kepada jangkitan lain. Mereka terpaksa mendapatkan bantuan untuk melakukan tugas harian yang mudah.

"Ini akan memberi kesan termasuk mengalami kemurungan akibat kehilangan kebolehan untuk berdikari dan tujuan hidup.

"Dalam pada itu, kos hospital dan penjagaan juga menjadi bebanan serta memberi kesan kepada ahli keluarga lain," katanya.

Beliau berharap, program vaksinasi percuma untuk Influenza juga dapat dipertimbangkan kerajaan sebagai satu bentuk khidmat menyokong terhadap peningkatan fasiliti kesihatan masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran keperluan vaksin dalam kalangan golongan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:00 AM