WAN Saifulrizal (kiri) bersama Zabidi (dua dari kiri) kiri) serta kanak-kanak berusia dua tahun, Afaf Fudzla Muhammad Aslam selepas menjalani suntikan vaksin influenza di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Rosli Ahmad.
WAN Saifulrizal (kiri) bersama Zabidi (dua dari kiri) kiri) serta kanak-kanak berusia dua tahun, Afaf Fudzla Muhammad Aslam selepas menjalani suntikan vaksin influenza di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Rosli Ahmad.
Nur Izzati Mohamad


PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) dan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang mengambil inisiatif menawarkan suntikan vaksin percuma kepada pelanggan mereka membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah bagi mencegah penularan virus influenza.

Inisiatif pertama itu adalah program perintis antara kedua-dua belah pihak dalam usaha mendidik masyarakat mengenai penularan virus berkenaan yang boleh mengancam nyawa.

Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata mengikut statistik ydibentangkan Pakar Perunding Perubatan PruBSN, Dr Sharliza Salleh mendapati terdapat satu bilion pesakit dijangkiti virus influenza setiap tahun di seluruh dunia.

“Statistik itu didedahkan melalui hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila angka masyarakat terdedah kepada jangkitan virus itu begitu besar.

“Daripada jumlah itu, 30 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun didapati dijangkiti influenza,” katanya pada Sesi Taklimat Media mengenai program berkenaan di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.

Beliau berkata, seramai 530 kanak-kanak berusia bawah lima tahun ke bawah yang dilindungi pelan perlindungan PruBSN dan pesakit di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang terpilih untuk menerima vaksinasi influenza secara percuma sehingga 26 Disember ini.

“Kos suntikan vaksin di Malaysia kebiasaannya sehingga RM130 namun dengan kerjasama ini, kami dapat memberikannya secara percuma dan berharap ia dapat diperluaskan lagi dalam program akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Zabidi Abdul Razak, berkata ibu bapa perlu tahu mengenai kepentingan vaksin dalam memastikan kesihatan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Ini kerana, apabila anak mereka sakit sudah tentu ia akan memberi impak apabila terpaksa mengambil cuti dan berulang-alik ke hospital.

“Jadi, suntikan vaksin ini begitu penting dan perlu diutamakan apatah lagi kanak-kanak antara kategori kerap serta mudah dijangkiti virus,” katanya.

Selain kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun, golongan ibu mengandung, warga emas berusia 65 tahun ke atas, penghidap diabetes, asma, jantung dan paru-paru kronik turut mudah terdedah kepada jangkitan virus influenza.

Influenza atau singkatannya ‘flu’ adalah penyakit yang disebabkan oleh virus influenza dan tersebar melalui batuk, bersin dan hubungan intim.

Pesakit mengalami penyakit ini mempunyai gejala sakit kepala, sakit otot, batuk, selsema dan demam.

Kajian terkini menunjukkan suntikan vaksinasi mampu mengurangkan antara 70 ke 90 peratus risiko jangkitan flu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 1:40 AM