KIM Sowon sudah dua kali tukar nama pentas.
KIM Sowon sudah dua kali tukar nama pentas.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Artis Korea Selatan perlu sentiasa bersedia dengan perubahan drastik dalam kerjaya mereka. Lebih-lebih lagi apabila kerjaya terdahulu menemui jalan buntu sehingga membantutkan perjalanan.

Contohnya apabila berlaku perpecahan kumpulan dianggotai atau dibubarkan terus. Ia mampu membuatkan karier artis itu tergendala atau lebih menyedihkan terumbang-ambing dan terhenti terus.

Justeru, mereka perlu cekal mencuba strategi baharu termasuk menukar agensi dan ubah nama pentas.

Itu dilakukan Kim Sowon yang sudah dua kali menukar nama pentasnya dari Sowon kepada Kim So Jung dan kini Kim Sowon.

Terbaharu, bekas anggota GFRIEND itu juga memutuskan untuk menyertai agensi OUI Entertainment. Dia bakal mengembangkan bakatnya dalam pelbagai cabang seni menerusi agensi baharu itu.

Presiden OUI Entertainment, Wi Myung Hee berkata, mereka sangat yakin Kim Sowon memiliki potensi besar untuk menyerlah sebagai artis solo. Justeru, agensi terbabit ingin merealisasikan impian terbabit.

"Saya gembira dapat menyertai permulaan baharu Kim Sowon. Saya akan memberi sokongan padu kepadanya supaya dia dapat tonjolkan kepelbagaian sisi kebolehannya sebagai pelakon.

"Mohon sokongan dan perhatian terhadap segala aktiviti Kim Sowon. Dia bakal terbang lebih tinggi pada masa hadapan," katanya.

Karier Kim Sowon seakan-akan turun naik selepas kumpulan GFRIEND dibubarkan pada Mei tahun lalu. Pelakon itu mula mencipta nama sebagai anggota kumpulan terbabit yang diperkenalkan pada 2015.

Selepas pembubaran itu, Kim Sowon menyertai agensi IOK Company sebagai pelakon. Dia menggunakan nama lahirnya Kim So Jung dalam misi mengukuhkan karier lakonan.

Bagaimanapun, dia mengundurkan diri daripada agensi terbabit pada September lalu. Demi angin baharu, dia menyertai OUI Entertainment dan menukar nama pentasnya lagi.

Agensi baharunya itu yakin dengan permulaan itu, Kim Sowon akan berjaya menonjolkan lagi auranya sebagai penghibur serba boleh. Mereka ingin pamerkan kebolehannya berlakon pelbagai genre.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 6:06 AM