Anyeonghaseyo! Selain pengurusan rapi, cerita membabitkan percintaan selebriti sememangnya dikawal ketat.

Itu senario dalam industri muzik K-Pop hingga mencetus fenomena.

Bagaimanapun, selain perkembangan karier, hal peribadi lebih menjadi ikutan peminat terutama membabitkan hal percintaan.

Bukankah itu yang membuatkan peminat lebih terusik lebih-lebih lagi membabitkan artis kesayangan mereka?

Hadir lebih berani dan sedia menghangatkan industri hiburan Korea Selatan, sebuah portal online dinamakan The Fact bakal membawa pelbagai cerita eksklusif skandal serta kisah cinta artis di sana.

Bahkan, dalam masa terdekat, beberapa kisah eksklusif bakal dirungkai.

Apa yang pasti, berita terbaru terbabit bakal mengejutkan seluruh dunia.

“Selepas berbulan membuat siasatan terhadap khabar angin yang masih jadi teka-teki, kami bakal merungkai kebenaran sebuah kisah besar,” kata kenyataan di portal itu.

Media ‘online’ itu sebelum ini berjaya membawakan berita eksklusif dan mendedahkan kisah skandal termasuk antara Park Jisung dan Kim Minji, Park Hanbyul dan Jung Eunwoo.

Tidak ketinggalan, kisah cinta Tiffany daripada Girls’ Generation dengan Nickhun 2PM serta Sooyoung dan Jung Kyung Ho.

Tidak pasti ia berita bagus atau menyedihkan buat peminat penyanyi berbadan sasa, Taeyang, namun akhirnya anggota Big Bang itu disahkan bercinta dengan rakan selebriti, Min Hyorin.

Membuka cerita panas Ulzzang! kali ini, jelas berita terbaru itu paling hangat diperkatakan.

Mana tidaknya, rekod penyanyi Eyes Nose Lips itu selama ini sangat bersih daripada gosip cinta, malah tidak pernah bercinta langsung.

Perkara itu disahkan sendiri pihak YG Entertainment, Yang Hyun Suk yang turut tumpang gembira.

“Itu kekasih pertama Taeyang. Berita itu sesuatu yang perlu diberi ucapan tahniah dan kami di YG tumpang gembira. Pengalaman bercintanya itu pasti bakal membantunya kelak dalam karier serta persembahan di pentas,” katanya positif.

Berikutan tersebarnya gambar kedua mereka keluar bersama, pihak YG serta JYP Entertainment selaku agensi Hyorin mengeluarkan kenyataan berhubung berita itu.

Bagaimanapun, agensi Hyorin pada mulanya enggan mengesahkan perkara itu dan mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Bagi Hyorin, perkara itu adalah hal peribadi dan dia lebih suka tidak memperkatakan apa-apa mengenainya,” kata wakil penyanyi dan aktres jelita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:15 PM