GFRIEND ditubuhkan pada 2015 bawah syarikat hiburan Source Music.
GFRIEND ditubuhkan pada 2015 bawah syarikat hiburan Source Music.
Georgie Joseph


MUTAKHIR ini kumpulan GFRIEND dari Korea Selatan mendapat perhatian luar biasa.

Fenomena yang dicipta mereka menjadi sebutan peminat seluruh dunia bahkan ramai meramalkan kumpulan itu bakal melakar sejarah manis tidak lama lagi.

Dianggotai Sowon, Yerin, Eunha, SinB, Yuju dan Umji, kumpulan itu kini terikat dengan pelbagai aktiviti promosi.

Bahkan, mereka juga sudah memulakan siri jelajah ke beberapa negara untuk bertemu peminat.

Baru-baru ini, kumpulan itu menjadi perbualan hangat apabila ramai tersentuh hati dengan sikap ambil berat yang ditunjukkan mereka.

Kejadian itu berlaku sewaktu mereka menjayakan acara bertemu peminat di Jakarta, Indonesia.

Kehadiran GFRIEND di negara itu menarik perhatian ribuan peminat yang sanggup bersesak untuk bertemu penyanyi kesayangan mereka. Sambutan hebat itu membuktikan GFRIEND antara kumpulan wanita Korea Selatan paling berpengaruh.

Situasi yang pada mulanya ceria bertukar menjadi tegang apabila peminat berasak-asak sehingga ada yang pengsan.

Anggota kumpulan itu panik sebaik tahu kekecohan itu dan cuba menghulurkan bantuan.

Menerusi satu rakaman video, Sowon berusaha mendekati peminat yang pengsan. Wajahnya kelihatan sangat risau ketika kejadian itu berlaku.

Namun, Sowon dan rakan-rakannya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan lokasi itu terlalu sesak dengan peminat. Pergerakan mereka terbatas waima ketika meninggalkan pentas.

Keprihatinan dan sikap ambil berat kumpulan itu menyentuh hati peminat dan menjadi bualan satu dunia hingga ke hari ini.

GFRIEND ditubuhkan pada 2015 bawah syarikat hiburan Source Music dan sudah menghasilkan dua album studio, satu album kompilasi, tujuh EP serta satu album yang dilancarkan semula di Korea.

Semua album GFRIEND diterima baik peminat mereka yang digelar sebagai ‘BUDDY’. Kumpulan itu pernah memenangi trofi Artis Wanita Baharu Terbaik 2015 di Anugerah Muzik Melon.

Selain itu, mereka turut menang besar di acara Anugerah K-Pop Carta Gaon, Anugerah Cakera Emas dan Anugerah Muzik Seoul. GFRIEND turut dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik 2018 di Anugerah Muzik Melon.

Lagu Me Gustas Tu daripada album mini kedua GFRIEND berjaya mencapai 100 juta penstriman dalam carta Gaon pada 2016. Malah satu lagi lagu hit mereka, ‘Rough’ turut menduduki tempat pertama dalam carta platform muzik digital enam bulan pertama 2016.

GFRIEND juga pernah menang 29 kali rancangan muzik Korea Selatan pada 2016 sekali gus menjadi satu-satunya kumpulan wanita yang meraih kemenangan paling banyak dalam masa setahun serta mengejutkan peminat muzik K-Pop seantero dunia.

Secara keseluruhan, GFRIEND sudah meraih 80 anugerah yang mana 53 anugerah itu daripada program muzik dan 27 lagi anugerah persembahan. Bagi kumpulan masih baharu seperti mereka, kejayaan itu wajar dibanggakan.

Berita baik buat peminat di negara ini, GFRIEND akan menjayakan 2019 GFRIEND Asia Tour [Go Go GFRIEND!] in Kuala Lumpur di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 29 Jun depan, jam 6 petang.

Dianjurkan Macpiepro, tiket berharga RM168 (Zon Hijau), RM238 (Zon Kuning), RM338 (Zon Merah), RM398 (Zon BUDDY) dan RM548 (Zon BUDDY Pakej VIP) boleh dibeli menerusi laman web www.macpiepro.com serta https://mcalls.asia.

Menariknya, zon BUDDY Pakej VIP menyediakan akses ‘Hi-touch’ dan ‘soundcheck’ kepada peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:01 AM