LISA
LISA
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Annyeonghaseyo! Sebarang jenis ugutan terhadap artis K-Pop bukan perkara remeh. Meskipun ia mungkin sekadar gurauan, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak tragedi.

Terbaru, anggota BLACKPINK iaitu Lisa menjadi mangsa ugutan bunuh peminat yang membencinya. Tindakan tidak bertanggungjawab itu lebih kepada mahu menarik perhatian Lisa dan YG Entertainment.

Akaun yang menggunakan nama @stupid.lisa.pr itu tanpa berselindung menyerang Lisa dengan pelbagai cara. Bukan saja menerusi ugutan kata-kata tetapi juga gambar.

Meskipun akaun itu sudah dipadam, wujud pula akaun baru membuat pengakuan mereka adalah sekutu kepada pemilik akaun terdahulu. Menurut akaun itu, perancangan membunuh Lisa tidak akan terhenti hanya disebabkan akaun pertama terbabit dipadam.

Menggunakan nama @an0r3x1c4, pemiliknya menegaskan tidak akan berhenti mengugut BLACKPINK.

“Meskipun akaun saya akan dipadam nanti, tiada siapa dapat menghalang saya untuk menembak mati BLACKPINK ketika persembahan di stadium,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut menyerang akaun Eksekutif Muzik YG Entertainment, Yang Hyun Suk. Dia memperlekehkan Hyun Suk tidak melindungi artis yang bernaung di bawah agensi itu.

Mujur peminat kumpulan itu yang digelar BLINK pantas mengesan akaun itu. Menerusi foto yang dimuat naik, gambar Lisa diasingkan daripada rakannya dan dimuat naik berserta komen penghinaan.

BLINK berharap YG Entertainment memandang serius ugutan itu dan bekerjasama untuk memastikan keselamatan Lisa dan anggota BLACKPINK lain terjamin.

Peminat kini boleh menarik nafas lega apabila agensi berkenaan sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Malah pengurus BLACKPINK, Jung Bo Kyung memuat naik gambarnya yang diambil oleh Lisa dengan meletakkan #weprotectyou.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:44 PM