Kim Jae Joong
Kim Jae Joong

Kuala Lumpur: Penyanyi Kim Jae Joong, 36, akan menjadi artis sulung K-Pop mengadakan konsert di sini selepas pandemik Covid-19 melanda lebih dua tahun lalu.

Konsert Jelajah Asia Kim Jae Joong Asia Tour di Kuala Lumpur 2022 anjuran iMe Malaysia akan berlangsung pada 23 September, 7.30 malam, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penyanyi yang juga anggota kumpulan JYJ itu tampil solo ke sini selepas 12 tahun tidak singgah di Malaysia.

"Dia artis Korea pertama yang akan mengadakan konsert di Malaysia sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan," demikian kenyataan penganjur.

Jae Joong mula mencipta nama pada 2003 sebagai anggota kumpulan TVXQ. Pada 2010, dia keluar daripada kumpulan itu dan menyertai JYJ yang dinaungi agensi C-JeS Entertainment.

Namanya bukan calang-calang dan cukup digilai peminat seluruh dunia. Bukan sekadar penyanyi, dia turut aktif berlakon dan menggubah lagu.

Antara siri dibintangi termasuk Protect The Boss, Dr. Jin, Triangle, SPY dan Manhole.

Jae Joong juga aktif dan memiliki kerjaya kukuh di Jepun. Dia kerap adakan siri jelajah, hasilkan album dan menyertai pelbagai rancangan realiti sejak tamat perkhidmatan ketenteraannya pada 2016.

Pada Mac lalu, dia melancarkan lagu Sixth Magnitude Star bersama anggota JYJ, Kim Jun-su untuk drama Jepun Waru Who Said That Working Isn't Cool?.

Baru-baru ini C-JeS Entertainment mengumumkan Jae Joong akan memulakan jelajah Asianya dengan konsert pertamanya di Seoul pada 17 dan 18 September.

Tiket bermula dari RM347 hingga ke RM787 boleh dibeli di laman web www.ticketcharge.com.my bermula jam 12 tengah hari esok.

Pembelian tiket terhad kepada maksimum enam tiket sahaja dalam setiap transaksi. Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan konsert terbabit boleh diikuti menerusi Facebook, Instagram dan Twitter rasmi iMe MY.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 1:08 PM