David bertanya khabar kepada Azhari yang terlantar sakit. Foto dari Instagram David Teo
David bertanya khabar kepada Azhari yang terlantar sakit. Foto dari Instagram David Teo
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) juga penerbit filem, David Teo, 58, sayu hati melihat keadaan kesihatan pengarah filem, Azahari Zain, 50, yang diserang angin ahmar pada Februari lalu.

Terdahulu, David melawat Azahari yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kediaman penggiat seni berkenaan bagi mengetahui keadaan terkini sahabat lamanya itu.

"Hati saya jadi sayu sangat ketika melawat dia. Kami kawan lama. Sama-sama berjuang dulu dalam industri filem dan sekarang dia kurang sihat.

"Saya mohon sama-sama kita doakan semoga Azahari sentiasa diberi kekuatan dan kesembuhan segera," katanya yang muncul dengan single duet, My Love My Baby bersama bakat muda, B5, baru-baru ini.

David berkata sepanjang MIG bekerjasama dengan Azahari, antara filem dihasilkan pengarah itu seperti Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Zoo dan banyak lagi.

Terdahulu, Azahari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi di UiTM dibenarkan pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor pada 18 April lalu, untuk meneruskan sesi rawatan selepas tiga bulan terlantar di hospital.

Azahari yang memulakan karier seni pada 2004, pernah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Pada Ogos lalu, Harian Metro melaporkan keadaan kesihatan Azahari menunjukkan perkembangan positif apabila dia sudah boleh duduk untuk sekejap, selain sedikit pergerakan biasa pada anggota badan, tangan dan kaki.

Menurut isteri Azahari, Wahizatul Nureen Azmi atau mesra disapa Nureen, suaminya yang mengalami serangan strok pada kedua-dua belah bahagian badan memerlukan masa untuk pulih.

Katanya, ada setengah orang boleh pulih cepat, setengah (orang) lagi, lambat nak pulih dan makan masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 2:18 PM