DATUK Prof. A. Razak Mohaideen. FOTO arkib NSTP
DATUK Prof. A. Razak Mohaideen. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Belum dipastikan lagi saya yang akan duduk di kerusi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu. Ini kerana jawatan itu atas lantikan menteri."

Demikian kata pengarah filem yang juga Ahli Perbadanan Finas, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen berhubung spekulasi namanya yang disebut-sebut menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletak jawatan pada 9 September lalu.

Razak ketika dihubungi berkata, dia berminat untuk mengisi kekosongan itu memandangkan dia ada pengalaman dalam pentadbiran dalam industri filem, kelayakan dalam filem dan pengurusan industri kreatif termasuk pengarahan.

"Jika diberi peluang saya akan beri yang terbaiklah. Namun, saya kena hantar permohonan, melalui proses temuduga dan sekiranya saya layak, keputusan lantikan akan dibuat atas budi bicara dan kebijaksanaan menteri," katanya kepada Harian Metro.

Razak berkata, jawatan itu akan diiklan dulu untuk dimohon sesiapa yang berminat.

Katanya, calon dipilih kemudian ditemuduga dan keputusan hanya dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Razak berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas kerana mengambil kira pengalamannya lebih 30 tahun dalam industri filem selain pernah menghasilkan 44 buah filem dan memenangi 13 anugerah.

"Saya rasa ini peluang terbaik untuk berbakti pada industri kreatif dan perfileman. Saya bermula dalam industri seni seawal tahun 1990-an. Filem pertama saya ialah pada 1996 dulu dan saya mula menulis skrip pada 1989.

"Banyak jugalah saya tahu berkaitan industri perfileman. Kalau diberi peluang tentunya saya akan cuba menaikkan industri kreatif dan juga perfileman negara. Apapun, segala keputusan siapa calon dipilih nanti atas kuasa menteri. Namun, saya tetap ucapkan terima kasih kepada beliau (Annuar)," katanya.

Mengulas mengenai perancangan Finas akan datang, Razak berkata, banyak yang dirancang oleh badan kerajaan itu yang menunggu masa untuk pelancaran.

Katanya, segala perancangan sudah diatur akan diteruskan dan ditambah baik mana yang perlu.

Razak yang kini pensyarah di Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai dekan fakulti berkenaan selama 10 tahun yang tamat tempoh pada April lalu.

Terdahulu, sebuah portal hiburan melaporkan Razak bakal mengisi kekosongan itu berdasarkan pengalaman, kredibiliti dan portfolio yang dimilikinya sebagai seorang pengarah filem dan ahli akademik.

Selain itu, nama pengarah wanita, Datuk Paduka Shuhaimi Baba turut disebut-sebut mampu mengisi kekosongan jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:10 PM