Aaisyah bersama ibu bapanya, Zain dan Che Ta pada majlis sambutan hari jadinya. Foto dari Instagram Rozita Che Wan
Aaisyah bersama ibu bapanya, Zain dan Che Ta pada majlis sambutan hari jadinya. Foto dari Instagram Rozita Che Wan
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta sekadar merealisasikan impian anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana, 8, yang minta diraikan hari jadinya dengan lapan biji kek dalam satu majlis serba meriah, semalam.

Che Ta ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukannya hanya suka-suka dan untuk menggembirakan Aaisyah yang ingin meraikan sambutan hari jadinya bersama keluarga dan rakan-rakan baik di sekolah.

"Aaisyah yang minta saya sediakan lapan biji kek itu bersamaan dengan usianya sekarang iaitu lapan tahun. Sebagai ibu, saya melakukannya kerana mahu melihat dia gembira. Lagipun, dia masih kanak-kanak dan seorang saja anak perempuan saya.

"Memang setiap tahun saya sekeluarga meraikan hari jadi Aaisyah dengan jumlah kek yang sama mengikut usianya. Ia sekadar suka-suka dan paling penting, Aaisyah sangat 'happy' (gembira)," katanya kepada Harian Metro.

Che Ta berkata, tema majlis juga mengikut pilihan Aaisyah dan kali ini dia inginkan tema merah jambu.

Ditanya bajet dibelanjakan, Che Ta berkata, biarlah rahsia dan majlis pun sederhana tetapi meriah dihadiri ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat.

Mengulas mengenai hadiah untuk Aaisyah, katanya dia menghadiahkan sebuah beg tangan, walaupun anaknya itu mahukan telefon pintar iPhone 14.

Katanya, Aaisyah masih kecil dan belum tahu menjaga telefon dengan baik.

"Sebenarnya, seminggu sebelum majlis diadakan, saya ada usik-usik Aaisyah kata tak jadi nak buat. Terus dia menangis dalam panggilan video yang dibuatnya ketika saya di Ipoh, Perak.

"Saya hanya nak 'test' dia saja, nak tengok dia betul-betul suka ke kalau kami buatkan majlis sambutan hari jadinya. Tak naklah nanti, nampak macam mak dia saja yang suka, tapi anak biasa saja. Tapi, rupanya memang dia pun suka dan menghargainya," katanya.

Terdahulu, Che Ta membuat perkongsian di Instagram mengenai majlis berkenaan.

Dia turut berkongsi beberapa foto memperlihatkan lapan biji kek pelbagai saiz dan corak dengan hampir semua manisan itu menepati tema warna merah jambu.

"Lapan tahun, lapan biji kek. Sambutan majlis hari jadi Aaisyah Dhia Rana," tulisnya.

Rata-rata perkongsian Che Ta itu menarik perhatian warga maya yang meninggalkan pelbagai komen.

"Nanti umur 40 tahun, kek pun 40 biji juga ke?" tulis seorang netizen.

Aaisyah adalah anak hasil perkahwinan Che Ta bersama pelakon, Zain Saidin pada 2013.

Selain itu, dia turut mempunyai dua anak lelaki iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 1:33 PM