MAHU jadi penerbit.
MAHU jadi penerbit.
Sudirman Mohd Tahir

DRAMA Angkara Cinta yang ditayangkan di slot Tiara saluran Astro Prima sekali lagi menaikkan nama pelakon, Syazwan Zulkifly. Apatah lagi, drama itu disambung menjadi 115 episod.

Biarpun sering melakonkan watak antagonis, Syazwan menjadi antara pelakon lelaki yang berjaya diterima baik dan mendapat sambutan penonton menerusi watak itu.

Malah, dalam Angkara Cinta, Syazwan, 34, diberi cabaran melakonkan watak Remy yang menyaksikan dia melakukan lima kali perubahan karakter dari awal sehingga tamat episod.

Syazwan berkata, itu adalah kali pertama dia tampil sebegitu sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan.

"Sepanjang berlakon saya tak pernah berasa puas. Tapi, untuk watak ini saya berasa cukup sebab dia banyak perubahan. Dalam cerita ini, ada lima kali pertukaran karakter termasuk emosi berbeza. Sebelum ini tak pernah buat lagi. Lagi pula ini drama episod panjang pertama saya buat, sebelum ini setakat 40 episod saja.

"Cerita ini bermula dengan babak berat. Jadi ia memberikan cabaran buat saya. Apabila terpaksa berehat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lalu, saya dan pelakon lain sangkut di Ipoh, Perak. Jadi, kami masih bersama. Apabila sambung penggambaran, ia lebih mudah sebab 'vibes' tak pernah habis.

"Lagi satu cabaran buat saya juga apabila pertama kali bekerja dengan semua pelakon dalam cerita ini. Jadi, saya tak tak tahu lakonan mereka mcam mana. Dalam masa sama, cerita ini juga ramai pelakon baharu," katanya.

Pun begitu, Syazwan yang turut mencipta nama menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2 tahun lalu mengakui pelakon baharu yang banyak babak dengannya seperti Merqeen dan Yuna Rahim dianggap 'memberi' dalam lakonan.

"Dalam cerita ini saya banyak adegan dengan Merqeen dan Yuna Rahim. Saya agak terkejut dengan Yuna sebab dia 'memberi' dari segi lakonan. Dia berlakon bagus. Kebetulan ada Datin Nina Juren dan Normah Damanhuri. Mereka pula otai dan memang bagus pun.

SYAZWAN selesa watak antagonis.
SYAZWAN selesa watak antagonis.

"Macam Merqeen, dia cuba untuk kejar dan sama-sama jadi bagus. Saya percaya dia boleh pergi lebih jauh. Begitu juga dengan Hun Haqeem. Dengan Wanna Ali saya tidak ada babak bersama lagi.

"Saya tiada masalah berlakon dengan orang baru kalau dia tahu kerja dan watak. Jangan bersikap lewa. Macam Merqeen saya tabik sebab dia bersedia dengan watak itu. Dia cuba masuk dalam lakonan saya, Nina dan Normah," katanya.

Berkongsi mengenai tuah kerjaya dalam watak antagonis, Syazwan berkata, dia mahu diingati dengan watak sebegitu.

"Apabila masuk industri, saya cakap dalam diri, apa saya nak bagi dalam industri adakah nak 'fight' dengan hero yang ada. Bila saya fikir balik dan borak dengan orang industri, rujukan saya adalah untuk watak ini. Dari awal memang antagonis. Tak pernah sasarkan untuk watak hero. Saya mahu apabila cakap watak antagonis, penonton akan ingat saya. Jadi, perkara ini memang membantu dalam kerjaya saya.

"Saya ada juga lakonkan watak hero, tapi mungkin di slot lain yang orang tidak perasan. Tapi, saya tiada masalah langsung dengan watak antagonis. Tapi, kerja saya lebih susah jika nak kena tukar watak lain.

"Kalau bawa watak baik orang akan pelik. Tapi, kalau watak jahat pula, cabaran saya adalah macam mana saya nak nampakkan ia betul-betul jahat dan lain dari sebelum ini. Saya tak nak orang nampak sama saja," katanya.

BERSAMA barisan pelakon Angkara Cinta.
BERSAMA barisan pelakon Angkara Cinta.

Fasa putus tunang

Berkongsi mengenai kisah peribadi, Syazwan yang putus tunang dengan Syawariah Zulkifli pada Mac tahun lalu mengakui mereka masih berkawan baik.

"Saya dengan bekas tunang masih baik, kami masih saling berkomunikasi. Sekarang, saya solo. Sebenarnya kami belum sampai tahap buat persiapan kahwin sebab PKP tahun lalu. Memang tak ada sebarang perancangan lagi, jadi tidak terlalu ralat.

"Betul-betul putus pada Mac tahun lalu, cuma orang tahu dua bulan selepas itu. Cuma ketika itu bagi saya tidak ada keperluan untuk orang lain tahu. Tapi, disebabkan ada beberapa komen menerusi gambar saya dengan seorang rakan wanita di Instagram dan bertanya termasuk bertanya kepada bekas tunang, jadi dia cakap perkara sebenar.

"Tidak ada isu masalah orang ketiga. Kami bertunang lima bulan saja. Anggap tidak ada jodoh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syazwan berkongsi dia bakal menerbitkan karya sulung di bawah terbitan syarikatnya.

"Saya nak menjadi penerbit. Sekarang saya dalam proses untuk menerbitkan karya pertama di bawah syarikat saya. Perancangannya sudah ada. Saya tidak babitkan orang industri pun, tapi kawan sekolah saya.

"Sekarang ini kami merancang. Kandungan dan jalan cerita semua sudah ada. Tinggal nak buat penggambaran saja lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:00 AM