Pelancaran single terbaru David Teo bersama kumpulan B5. FOTO Rohanis Shukri
Pelancaran single terbaru David Teo bersama kumpulan B5. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo, 58, menyifatkan pembabitannya sebagai penyanyi bukan untuk menaikkan diri sendiri dan mengejar glamor kerana dia memang sudah pun popular.

David berkata dia muncul menyanyi dalam single terbaharu, My Love My Baby bersama bakat muda dikenali B5 yang dianggotai Suhaimi Azmi, Dai Fuad, Aaliyah Natasha dan Chumiee kerana mahu membantu mereka mengetengahkan bakat.

"Kalau letak mereka saja, tanpa saya mestilah ramai orang tidak kenal dan tertanya-tanya siapa mereka. Tapi, dengan adanya saya juga dalam lagu itu menyanyi dengan mereka, membantu promosi juga.

"Orang dah kenal saya pun. Lagi pula, saya melihat lagu My Love My Baby ini menarik dengan susunan muzik yang bagus oleh Amir Ukays dan lirik ditulis, Dai Fuad juga 'catchy'. Malah, saya dapati Dai Fuad ini orangnya rajin, ada kesungguhan dan suka berbincang.

"Di MIG, saya juga masih mengekalkan 'tagline', Bintang Dicipta, Bukan Dilahir. Jadi, saya percaya bakat baharu yang ada potensi seperti mereka perlukan platform yang tepat untuk mengembangkan bakat seni masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini, David mengadakan sidang media pelancaran single itu dan memperkenalkan anggota B5 pada majlis diadakan di Plaza Damas di ibu kota.

David juga berkata, harapannya agar lagu My Love My Baby mendapat sambutan baik pendengar, sekali gus lirik yang 'catchy' itu mudah diingati pendengar sebagaimana beberapa lagu pernah dirakamkannya sebelum ini.

"Saya tidak gentar untuk mengambil orang yang tidak popular dan memberi ruang kepada mereka untuk ketengahkan bakat. Malah, kalau kurang cantik dan kurang kacak pun tak apa, sebab lama-lama kita boleh 'polish' (gilap) juga.

"Cantik dan kacak itu bonus. Tapi, kalau tak ada dan cuma ada bakat, okey lah kita ambil masa untuk 'polish'. Ramai saja selebriti yang ada sekarang, pada awal kemunculan mereka kurang kacak, kurang cantik. Tapi, lama-lama mesti ada perubahan punya," katanya.

Mengulas juga sambutan muzik video My Love My Baby di platform digital, YouTube dan media sosial, David berkata, ia baharu dilancarkan semalam dan belum mendapat keputusan maklum balas terperinci.

Terdahulu, David pernah merakamkan tiga single iaitu Kacang duet bersama Cat Farish, diikuti Kawan Lama (dengan Yasin Sulaiman dan Atikah Suhaime dan Besar Kepala (bersama Madrizal dan Syaa Nasir).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 3:39 PM