DARI kiri Dirk, Kiko, Dave dan David.
DARI kiri Dirk, Kiko, Dave dan David.


Pemain bass Megadeth, David Ellefson berharap band thrash metal itu dapat memenangi anugerah Grammy pertama mereka tahun ini selepas 12 kali dicalonkan.

Dalam Grammy Awards 2017 yang akan berlangsung pada 12 Februari ini di Los Angeles, Amerika Syarikat, Megadeth dicalonkan dalam kategori Persembahan Metal Terbaik menerusi lagu Dystopia daripada album terbaru yang juga album studio ke-15 mereka.

Dalam kategori itu, mereka akan berentap dengan Korn yang dicalonkan menerusi lagu Rotting in Vain, Gojira (Silvera), Baroness (Shock Me) dan Periphery (The Price Is Wrong).

“Ia satu penghargaan daripada industri muzik dan rakan seangkatan terhadap muzik kami. Saya harap satu hari nanti kami akan menang di Grammy, tentu seronok! Dapat dicalonkan sebagai finalis pun sudah cukup menyeronokkan,” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

David anggota asal band dari Los Angeles ini bersama penyanyinya Dave Mustaine. Dua lagi anggota Megadeth ialah Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram).

David berkata, kemenangan di Grammy Awards tentu berbeza jika mereka artis pop atau urban.

“Ia mampu melonjakkan jualan album, konsert jelajah dan sebagainya. Saya masih ingat ketika Norah Jones memenangi banyak Grammy dan ia mengubah kehidupan penyanyi itu.

“Bagi band metal seperti kami agak berbeza. Kami sudah lama dalam industri muzik dan melakukan segala-galanya sendiri. Kami juga sudah melakukan konsert jelajah ke seluruh dunia dan cukup rapat dengan peminat,” katanya.

Pencalonan pertama Megadeth di Grammy Awards ialah pada 1991 menerusi lagu Rust In Peace. Dystopia ialah pencalonan kelima mereka dalam tempoh tujuh tahun.

David berkata, dia menghargai The Recording Academy kerana tidak melupakan muzik metal dalam pencalonan Grammy, malah band metal dan rock kerap diberi peluang mengadakan persembahan di pentas Grammy.

“Grammy Awards adalah sesuatu yang hebat. Hampir semua genre muzik dipertandingkan. Walaupun tidak semua penyampaian anugerah ditayangkan secara langsung, tetapi ia membuktikan mereka terbuka terhadap semua jenis muzik,” katanya.

Dalam pada itu, Megadeth yang kini sedang mengadakan konsert jelajah Killing Road Tour bakal singgah di Singapura pada 2 Mei ini.

Peminat Megadeth di Malaysia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton konsert mereka yang akan diadakan di Kallang Theatre itu.

Pada 2001, Megadeth sepatutnya mengadakan konsert di Kuala Lumpur tetapi ia dibatalkan berikutan penggunaan maskot Megadeth iaitu Vic Rattlehead yang berimej tengkorak dikatakan tidak sesuai buat masyarakat negara ini.

Untuk rekod, Megadeth yang dilabel sebagai ‘big four’ dalam genre thrash metal bersama Metallica, Slayer dan Anthrax sudah menjual lebih 50 juta album di seluruh dunia sejak 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:04 AM