Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas
Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Awesome TV menyifatkan isu tunggakan bayaran program tv membabitkan penerbit dengan stesen itu sebagai palsu dan tidak benar. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat dalam perjumpaan penerbit Datuk A Aida bersama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Seri Zurainah Musa, semalam sekali gus menyifatkan terdapat unsur-unsur hasutan yang dirasakan mempunyai niat jahat terhadap Awesome TV.

 

"Mengikut rekod kewangan yang dikemukakan oleh bahagian akaun syarikat ke atas syarikat produksi yang pernah menerbitkan karya kreatif dan disiarkan di platform kami, Awesome TV tidak pernah gagal melunaskan sebarang pembayaran secara progresif mengikut faktor-faktor spesifik dengan setiap vendor kami. 

"Untuk mengesahkan perkara ini, kami juga sudah membuat penelitian lanjut dan semakan silang secara menyeluruh ke atas rekod kewangan syarikat dan dapat dilihat dengan jelas pembayaran untuk setiap karya yang diterbitkan.

"Justeru, pasukan undang-undang dan firma guaman kami kini dalam proses meneliti perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada yang terbabit. Kami memandang serius spekulasi tidak berasas yang ditimbulkan oleh A Aida ini kerana ia telah mencemarkan nama baik dan reputasi pihak kami selaku stesen televisyen," katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Adam, dia juga meluahkan rasa kesal dengan tindakan A Aida yang dilihat mempergunakan kedudukannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Finas untuk memanjangkan isu yang bermula sekadar dari kenyataan balas dan pendapat yang diberikannya mengenai kenyataan penerbit itu berhubung rupa paras yang cantik dan kacak lebih menjadi keutamaan berbanding dengan bakat.

"Tindakan beliau berjumpa dengan Pengerusi Finas mengenai perkara ini dilihat berniat jahat dan berunsur fitnah serta menjatuhkan reputasi Awesome TV yang mempunyai hubungan sedia ada dengan para penggiat seni. 

"Tuduhan yang dibuat ini dilihat amat berat terutamanya apabila kami di Awesome TV - adalah salah satu platform utama penggiat seni untuk berkongsi hasil kerja mereka dan dijadikan salah satu medan mencari rezeki masing-masing. 

"Kami turut merasakan A Aida mempergunakan kedudukannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Finas dan melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas ke atas kami.

"Isu berbangkit yang diperdebatkan sebelum ini adalah perihal paras rupa dan bakat penggiat seni. Tetapi A Aida sengaja mengaburi mata umum dengan hal-hal yang tidak berkenaan khususnya membabitkan urusan dalaman Awesome TV," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak berkata, teknik pembayaran yang dilakukan Awesome TV kepada penerbit adalah sama dengan stesen TV lain.

"Mengikut pengalaman saya selama bekerja dalam industri seni tanah air lebih daripada 10 tahun, apa yang dipraktikkan oleh Awesome TV ini adalah amalan kebiasaan stesen- stesen televisyen di Malaysia," katanya.

Semalam Finas mengambil maklum isu tunggakan bayaran program tv membabitkan penerbit dan Awesome TV  dalam sesi pertemuan bersama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Penerbit Filem (PFM).

Terdahulu, A Aida menyelar tindakan Awesome TV memberi tumpuan kepada isu paras rupa berbanding menjelaskan hutang kepada beberapa syarikat produksi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 7:06 PM