JUREY minta FINAS lebih proaktif bukan sekadar memaksa penerbit membuat caruman kepada pekerja dan mengenakan tindakan sekiranya gagal mencarum.. FOTO Fcebook Jurey Rosli
JUREY minta FINAS lebih proaktif bukan sekadar memaksa penerbit membuat caruman kepada pekerja dan mengenakan tindakan sekiranya gagal mencarum.. FOTO Fcebook Jurey Rosli
Sudirman Mohd Tahir


PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyambut baik pengumuman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada penggiat seni.

Pengumuman dibuat Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac semalam itu akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan sekali gus menggembirakan lebih 30,000 pekerja industri seni kreatif tanah air.

Bagaimanapun, Presiden PTVM, Datuk Jurey Rosli berkata, pihaknya berharap perbadanan itu dapat menggunakan Akta FINAS 1981 untuk menyelesaikan keseluruhan ekosistem dan bukan hanya membantu kebajikan pekerja industri.

“Syabas dan tahniah atas usaha FINAS untuk membantu kebajikan pekerja industri. Cuma, bagi memastikan FINAS berlaku adil kepada syarikat penerbitan program televisyen, kami berharap mereka dapat menggunakan aktanya untuk menyelesaikan secara keseluruhan dan bukan hanya membantu kebajikan pekerja industri.

“Dengan Akta FINAS 1981 yang ada sepatutnya mereka lebih proaktif bukan sekadar memaksa penerbit membuat caruman kepada pekerja dan mengenakan tindakan sekiranya gagal mencarum.

“Tindakan FINAS untuk menyekat pengeluaran Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sekiranya gagal mencarum juga dilihat satu tindakan terdesak dan tidak bijak,” katanya.

Dalam masa sama, Jurey berharap FINAS segera mendapatkan persetujuan daripada semua stesen televisyen mengenai kadar baru harga pembelian kandungan yang sudah lebih dua dekad tidak dinaikkan.

“Sebagai agensi yang mengeluarkan lesen penerbitan televisyen kepada syarikat penerbitan, PTVM berharap FINAS mendapatkan segera persetujuan daripada semua stesen televisyen mengenai kadar baru harga pembelian kandungan yang sudah lebih 20 tahun tidak dinaikkan.

“Ia penting supaya dapat mewujudkan industri yang kondusif untuk semua pihak.

“Namun, apabila perkara ini tidak dinyatakan dalam pengumuman Pengerusi FINAS, ia amat mendukacitakan PTVM kerana ketika perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Pengerusi FINAS tempoh hari sudah dipersetujui bahawa kadar baru pembelian kandungan akan diumumkan Menteri selewatnya hujung tahun dan ini selari dengan hasrat FINAS untuk memulakan caruman KWSP,” katanya.

Susulan itu, Jurey melalui PTVM akan menghantar surat rasmi kepada pihak kementerian berkaitan bagi penjelasan lanjut.

“Pihak persatuan akan menghantar surat rasmi isu ini dan mahukan penjelasan mengenai keputusan Menteri berkenaan kadar pembelian kandungan baru yang dipersetujui berserta dengan pembaharuan lain dicadangkan oleh kami,” katanya.

Berita berkaitan

KWSP, PERKESO setuju untuk caruman penggiat seni

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:29 PM