Penerbit Datuk A Aida
Penerbit Datuk A Aida
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit terkenal Datuk A Aida sedang dalam proses perbincangan dengan peguamnya untuk mengambil tindakan saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Awesome TV, Datuk Adam Ilyas kerana didakwa menghasut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) supaya mengambil tindakan tegas menggugurkannya sebagai ahli lembaga agensi itu.

A Aida ketika dihubungi berkata, peguamnya kini sedang mengkaji kenyataan yang dikeluarkan hingga menjejaskan reputasi selain mempersoalkan pelantikannya yang dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Saya tidak buat apa-apa kesalahan dalam Finas malah pelantikan saya sebagai ahli lembaga Finas adalah untuk mengetuai dan membantu agensi itu dalam memberi manfaat dan menjaga kebajikan pekerja-pekerja seni termasuk penerbit, pelakon dan krew produksi. Jadi atas kapasiti apa dia mencadangkan Finas mengambil tindakan terhadap saya?

"Sekarang ini peguam saya sedang mengkaji dan akan memberikan maklum balas kepada saya dalam tempoh terdekat. Saya kini terpaksa berurusan dengan dua peguam kerana seorang lagi sedang menguruskan kes saya bersama pelakon Amelia Henderson dan Idris Khan yang akan berlangsung esok di mahkamah," katanya yang dilantik Finas sebagai Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri.

Terdahulu Adam dalam siaran medianya tidak bersetuju dengan pendapat A Aida selain menegaskan kenyataan wanita itu tidak bijak dan merosakkan industri seni negara apatah lagi ia datangnya daripada seorang ahli Lembaga Pengarah Finas.

Menurut A Aida, Adam tidak layak memberikan kenyataan seumpama itu sebaliknya menyelesaikan dahulu masalah yang dihadapi dengan produser drama tempatan yang dilaporkan akan mengambil tindakan saman terhadap stesen TV itu.

"Dia tidak layak mengeluarkan kenyataan dan menuduh saya. Sepatutnya dia menyelesaikan masalahnya terlebih dahulu.

"Selaku Timbalan Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) saya menerima banyak laporan daripada produser yang mendakwa pihak Awesome TV tidak melunaskan bayaran karya yang disiarkan di saluran TV itu.

"Malah ada ahli dalam PTVM yang sudah bertemu peguam untuk mengambil tindakan saman kepada stesen TV itu atas kegagalan membayar hutang selepas membeli karya mereka.

"Jadi sekarang ini saya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah penerbit ini. Ramai penerbit yang menghubungi saya dan mendedahkan masalah ini. Kalau tiada orang nak memperjuangkan saya akan membantu untuk kepentingan ahli-ahli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:41 PM