MARIA Effendi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
MARIA Effendi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Michelle Gun

Biarpun bergelar artis rakaman, Maria Effendi tiada masalah untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi jalanan. Bagi penyanyi berusia 21 tahun itu, menghiburkan orang di tempat awam cara terbaik untuk mempromosikan dirinya.

Apatah lagi dia baru saja mengeluarkan single sulung, Haruskah Aku, November lalu ciptaan sendiri bersama anggota Chubby Buskers, Kirin.

Menurut Maria, sudah dua tahun dia mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan sebelum dilamar Jayy Production Empire untuk menjadi artis naungan syarikat berkenaan.

“Sepatutnya single ini dilancarkan lebih awal, namun terpaksa ditunda kerana ibu meninggal pada Ogos lalu. Sejak kecil lagi saya minat menyanyi dan bapa juga pernah menjadi penyanyi jalanan. Dalam keluarga, saya menurut jejak bapa menjadikan bidang ini sebagai kerjaya,” katanya.

Ujar penyanyi itu, dia berkenalan dengan anggota kumpulan Chubby Buskers apabila sering mengunjungi sebuah restoran makanan di Setapak bersama penyanyi jalanan lain.

“Sebelum itu, saya membuat persembahan di kedai makan sekitar Setapak dan Ampang. Selain itu, saya juga memenuhi undangan menyanyi di premis makanan.

“Selepas berkenalan dengan Chubby Buskers, mereka sering ajak buat persembahan di sekitar ibu kota,” katanya.

Maria mengakui berasa kekok menyanyi di tempat awam ketika awal pembabitan.

“Mula-mula memang rasa kurang yakin tetapi lama kelamaan saya boleh mengawal keadaan dan tidak gementar.

“Saya sedar bukan mudah bersaing dengan adanya ramai penyanyi baharu, tambahan pula saya tiada pengetahuan asas dalam muzik.

“Memang tidak dinafikan ada banyak kelemahan vokal yang saya perlu perbaiki dan sentiasa minta nasihat daripada rakan yang menuntut muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Cuma, buat masa ini saya akan kurang aktif membuat persembahan di tempat awam kerana perlu berikan perhatian terhadap aktiviti promosi single,” katanya.

Pun begitu, Maria berkata akan terus bekerjasama dengan Chubby Buskers dan merancang mengeluarkan lagu dengan kumpulan berkenaan.

“Melodi untuk lagu baharu itu sudah ada, tinggal lagi mahu hasilkan lirik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 12:00 PM