Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya harap rakyat Malaysia buka mata mereka untuk melihat bakat seseorang berbanding rupa paras," kata penyanyi Azharina yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) mengenai pembabitan Bob Yusof dan Dina Nadzir pada GV9 yang memulakan saingan malam ini. 

Azharina, 37, berkata, dua penyanyi itu memiliki bakat besar namun tidak diberikan peluang dan platform yang sebenar dalam industri muzik tanah air. 

"Saya memilih untuk beberapa rakan yang saya tahu memiliki bakat besar, tapi kurang mendapat platform dalam bidang seni sebagai penyanyi iaitu Bob dan Dina. Mereka sangat berbakat dan ada suara yang bagus, cuma mungkin rezeki tidak berpihak sepenuhnya kepada mereka. 

"Jadi, saya mahu melihat perkembangan mereka dalam GV. Peserta lain kita sudah tahu mereka ada nama dan lebih dikenali, tapi untuk dua orang ini sudah melalui banyak perkara. Malah, mereka selalu kena 'body shaming' atau sindir badan. Stigma masyarakat Malaysia selalu melihat pada rupa berbanding bakat. Jadi saya melihat bakat mereka sangat besar, tapi platform tu kurang dapat pendedahan," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Azharina, dia dapat menjangkakan beberapa nama bakal layak ke peringkat akhir. 

"Peserta GV tahun ini semua 'power', sudah berpengalaman dalam pertandingan dan kredibiliti sebagai penyanyi tak dapat disangkal. Saya tak sabar nak tengok persembahan mereka.

"Kalau dari segi ramalan ke akhir, ada beberapa nama yang dirasakan bakal ke akhir. Tapi agak sukar dijangkakan kerana kita belum melihat persembahan mereka. Sebab penyanyi ini manusia, bukan robot. Apa yang membezakan markah mereka nanti adalah nyanyian saja. Dari segi kredibiliti penyanyi mereka memang boleh menyanyi," katanya. 

GV9 menyaksikan 13 peserta berentap antaranya Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom.

Manakala peserta lelaki ialah Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla serta kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 6:19 PM