Azharina Azhar.
Azharina Azhar.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi Azharina Azhar, 38, mendedahkan dia pernah mengalami pengalaman mistik sehari sebelum konsert akhir Gegar Vaganza (GV) musim ketiga.

Menurut juara GV3 ini, pada malam selepas berakhirnya sesi raptai penuh program realiti popular itu, dia mengalami muntah darah.

"Saya tidak pernah menceritakan mengenai pengalaman mistik ini pada mana-mana pihak termasuk media sebelum ini. Pada malam itu juga, saya muntah darah dan keluar segumpal rambut.

"Kejadian itu berlaku di hadapan pekerja saya dan doktor. Doktor pun tidak tahu apa punca sebenarnya.

"Saya ingatkan Ju-On hanya ada dalam filem, rupa-rupanya ia ada di dunia nyata juga," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman 10 peserta All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Pavillion, Bukit Bintang di sini, petang semalam.

Mengulas pengalaman mistik itu lagi, kata penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi ini, bagi orang yang suka bermain dengan amalan mistik, mereka adalah golongan yang tidak percaya dengan kebolehan diri sendiri.

"Saya percaya dalam dunia ini bukan ada manusia sahaja, ada banyak lagi makhluk halus yang lain. Siapa yang berbuat sedemikian (amalan mistik) pada saya mereka tidak mempercayai diri dan bakat sendiri," katanya.

Sementara itu, ditanya pembabitannya dalam All Star Gegar Vaganza yang menyaksikan 10 bekas juara GV berentap pula, kata Azharina, dia menerima tawaran untuk buat program realiti itu untuk kembali mewarnai pentas GV dan mencari lebih banyak pengalaman.

"Untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur, anda perlu ada ilmu dan platform untuk menonjolkan bakat sedia ada.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sekali lagi diberikan peluang untuk menonjolkan bakat dan menimba pengalaman di pentas All Stars Gegar Vaganza pula," katanya.

Selain Azharina, pentas All Stars Gegar Vaganza turut disertai oleh bekas juara GV yang lain seperti Ayai Ilusi, Siti Nordiana, Datuk Aishah, Noryn Aziz, Naqiu, Hardy Mirza, Cliff Umar, Aliff Aziz dan Jaclyn Victor.

Lima lagi peserta 'hot seat' akan dipilih oleh peminat menerusi undian bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 11:52 AM