GAMBAR yang dikongsikan Uyaina di Instagram
GAMBAR yang dikongsikan Uyaina di Instagram
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon popular, Uyaina Arshad selamat melahirkan bayi lelaki menerusi pembedahan semalam.

Uyaina berkata, kelahiran anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan suami, Raja Syahiran disambut dengan rasa hiba, sayu dan gembira.

"Assalamualaikum anakandaku. Penantian dihidangkan dengan rasa hiba, sayu dan gembira. Menjelang Maghrib tanggal 8 September 2022 anakandaku dilahirkan dengan tangisan. Alhamdulillah, pembedahan berlangsung dengan selamat. Syukur Alhamdulillah," katanya menerusi hantaran di Instagram, hari ini.

Uyaina menerusi perkongsian yang sama turut menitipkan pesanan buat bayinya itu dan berdoa agar dia menjadi anak yang soleh, taat kepada ibu bapa dan agama.

"Semoga menjadi anak yang soleh, taat pada ibu bapa dan agama serta menjadi manusia berakhlak mulia dan seorang pemimpin hebat.

"Saya juga memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik daripada semua pihak buat anak sulung kami ini. Baba dan Mama sayangkan awak," tulisnya.

Terdahulu, pasangan selebriti itu berkongsi berita gembira apabila mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki pada majlis pengumuman jantina anak dan kenduri kesyukuran yang berlangsung di Janda Baik, Pahang pada 12 Ogos lalu.

Uyaina dan Raja Syahiran yang juga penyanyi melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur, pada 20 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 1:06 PM