Uyaina Arshad & suami, Raja Syahiran
Uyaina Arshad & suami, Raja Syahiran
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 30, tidak berniat merahsiakan kehamilan sebaliknya menantikan waktu sesuai untuk mengumumkan berita gembira itu .

Uyaina yang kini memasuki trimester kedua kehamilan berkata, dia dan suami, Raja Syahiran mencapai kata sepakat untuk berkongsi di media sosial apabila sering diajukan mengenai perkara itu.

"Kami berbincang dan berpendapat tidak baik untuk terus menafikan mengenai kehamilan ini memandangkan 'baby bump' tidak dapat ditutup lagi. 

"Pakai baju besar pun sudah kelihatan dan tidak boleh sorok dah. Jadi, kami mengambil keputusan untuk mengumumkan mengenai kehamilan ini memandangkan kandungan juga sudah masuk trimester kedua.

"Bukan niat kami hendak membuatkan orang tertanya-tanya atau menyembunyikan berita ini, cuma hendak memastikan kandungan sudah kuat," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini turut memohon doa daripada orang ramai untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka sekeluarga ketika membuat pengumuman mengenai berita kehamilannya, baru-baru ini.

Terdahulu, desas-desus mengenai kehamilan Uyaina yang juga pengacara MeleTOP mula diperkatakan sejak awal tahun ini, namun dia menafikannya.

"Saya mengalami alahan agak teruk ketika awal kehamilan. Kalau makan, memang akan muntah balik sehingga tidak larat untuk melakukan sebarang aktiviti. Namun, saya kembali bertenaga apabila memasuki trimester kedua.

"Kami juga berkesempatan bercuti ke Turki. Namun, hendak dijadikan cerita sebaik tiba di lapangan terbang selepas pulang dari sana, saya terus mencari tandas kerana mual kembali," katanya.

Uyaina dan Raja Syahiran yang juga penyanyi melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, di sini, pada 20 Disember tahun lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:29 AM