Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 30, berkongsi berita gembira apabila hamil anak pertama hasil perkahwinan dengan suaminya yang juga penyanyi, Raja Syahiran.

Uyaina berkata, dia bersyukur terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan untuk mereka tidak lama lagi.

"Insya-Allah, tak lama lagi keluarga kecil kami akan bertambah. Saya mengandung. Sejujurnya kami masih tak percaya yang kami berdua bakal menjadi ibu dan ayah.

"Kami tak sabar nak melihat kamu, si kecil. Kami mohon doa dari kalian semua untuk kesejahteraan dan keselamatan saya dan bayi sepanjang tempoh mengandung dan  melahirkan nanti," katanya.

Uyaina menerusi hantaran di Instagram gembira kerana Ramadan yang disambut bermula esok membawa seribu satu kemanisan buat mereka.

 "Semoga segala urusan dipermudahkan. Dan semoga kami dapat memikul tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin. 

"Pertama kali menyambut Ramadan sebagai suami isteri, dan pertama kali juga menyambut Ramadan dan Syawal sebagai bakal Ibu bapa. Semoga kita semua memperoleh keberkatan dalam bulan mulia ini. Aamiinnn Ya Allah," katanya lagi.

Terdahulu pada awal Februari, Uyaina mengakui terkejut apabila terdapat pengikut di Instagram yang bertanya adakah dirinya sedang hamil.

Dia cemas dengan persoalan terbabit kerana ketika itu belum membuat sebarang ujian kehamilan atau merujuk perkara itu ke hospital.

Uyaina turut memaklumkan terdetik untuk buat ujian kehamilan dalam waktu terdekat kerana takut hamil tanpa sedar. 

Mereka juga tidak pernah 'merancang' untuk menimang cahaya mata sebaliknya sudah bersedia untuk mengalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, di sini pada 20 Disember lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 7:16 PM