UYAINA Arshad. FOTO arkib NSTP
UYAINA Arshad. FOTO arkib NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad yang menjalani pembedahan membuang apendiks, Isnin lalu masih dirawat di hospital apabila mengalami jangkitan kuman di sekitar dinding uterusnya.

Uyaina yang kini hamil berkata, dia masih bergantung kepada ubat tahan sakit, namun mengikut dos bersesuaian dengan saranan doktor.

"Saya masih lagi bergantung kepada ubat tahan sakit, namun tidak boleh diambil sepanjang masa kerana membahayakan bayi dalam kandungan.

"Buat masa ini, saya perlu menahan rasa sakit ini demi kandungan. Doakan kesihatan dan kesejahteraan saya," katanya.

Berkongsi dalam hantaran di Instagram, Uyaina menceritakan dia menjalani pembedahan pada jam 10 malam Isnin lalu selepas dimasukkan wad kerana sakit di bahagian bawah kanan perut.

Suaminya, Raja Syahiran kemudian membawanya ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, selepas diperiksa, doktor memaklumkan dia perlu dibedah segera dan ditempatkan di dalam wad.

Uyaina dan Raja Syahiran yang juga penyanyi melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 12:57 PM