HATTA juga bakal tampil dengan album mini.
HATTA juga bakal tampil dengan album mini.
Abnor Hamizam Abd Manap


BAGAIKAN berhantu! Itu yang boleh dikatakan mengenai lagu Akan

Ku Kenang daripada kumpulan rock era 1980-an, Junction yang masih mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik rock tanah air.

Lagu yang diterbitkan pada 1988 dan sudah berusia 34 tahun tetap menusuk kalbu setiap kali dimainkan.

Bukan lagu itu saja, Junction yang ketika itu dianggotai Hatta (penyanyi), Man (gitar), Amir (gitar), Syed Mohamad (bass) dan Misman (dram) turut memiliki pelbagai lagu menarik daripada tiga album yang dihasilkan sepanjang terbabit dalam industri muzik.

Berikutan itu, Hatta atau nama sebenarnya Kamarulhatta Zaharuddin mendapat tawaran dan bersetuju merakam semula tiga lagu popular mereka iaitu Akan Ku Kenang, Demi Cinta Setia dan Monolog Untuk Rina.

"Bukan tiada lagu baharu, tetapi ia permintaan peminat sekali gus membuktikan saya masih ada dalam industri muzik tanah air.

"Ketiga-tiga lagu itu diberi sentuhan baharu, namun masih mengekalkan melodi asal yang mempunyai nostalgia tersendiri dan kini dalam proses 'mixing' dan 'mastering'," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang.

Hatta berkata, merakamkan semula lagu berkenaan juga dianggap sebagai sesi pemanas badan berikutan sudah mempunyai perancangan mengeluarkan album mini.

Katanya, album berkenaan bakal memuatkan enam lagu dan buat masa ini, satu lagu ciptaannya bersama Omar Akira sudah disiapkan. Hatta juga menulis lirik lagu berjudul Bebaskan itu.

"Ia berentak fast rock, manakala lima lagu lagi masih dalam pembikinan dan akan memulakan rakaman sebaik semua urusan berkaitan diselesaikan.

"Pada awalnya saya merancang hanya untuk mengeluarkan single, tetapi apabila difikirkan semula lebih baik buat album mini. Walaupun kosnya mungkin meningkat, tidak mengapa jika hasilnya memuaskan hati semua pihak khususnya peminat," katanya.

Bercerita pembabitannya bersama Junction, Hatta berkata, dia mengambil keputusan memperlahankan aktiviti seninya sebelum berkhidmat dengan sebuah syarikat telekomunikasi pada 1998.

Selepas Junction menghasilkan album ketiga dan terakhir pada 1990, saya memulakan kerjaya solo dan sempat menghasilkan album solo yang turut memuatkan lagu popular Kita Masih Cinta duet bersama Lyana.

"Saya menamatkan perkhidmatan bersama syarikat telekomunikasi itu pada 2020 dan ketika ini banyak menghabiskan masa di rumah selain melakukan kerja sambilan," katanya.

Hatta berkata, dia kini melakukan semua kerja rumah kecuali memasak.

Menurutnya, dia tidak kekok melakukan sendiri kerja rumah memandangkan isterinya, Azslender Abd Aziz masih bekerja dengan agensi kerajaan.

Ditanya pendapat sekiranya ada penyanyi lain mahu merakamkan kembali lagu yang pernah dinyanyikannya dalam pelbagai versi, Hatta berkata, terpulang kepada mereka bagaimana mahu mempersembahkan semula lagu berkenaan mengikut idea dan kreativiti masing - masing.

"Apabila orang menyanyi semula lagu kita, ia bagaikan satu penghormatan. Bagi saya tiada isu berkaitan lagu yang dinyanyikan itu semula kerana kadang-kadang ia menjadi permintaan syarikat rakaman atau penerbit," katanya yang memiliki dua anak berusia 24 dan 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:55 AM