Riena Diana
Riena Diana
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Riena Diana, 25, disahkan dijangkiti Influenza A semalam selepas beberapa hari mengalami sakit kepala dan demam berterusan.

Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal berkata kesakitan dialaminya lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali sebelum ini.

"Selain sakit kepala dan demam, saya tiada selera makan, selsema, batuk, asma, cirit-birit dan sakit badan. Entah kenapa kesakitannya lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

"Saya mula demam tiga hari yang lalu selepas tamat sebuah penggambaran. Semakin hari semakin teruk, kemudian ke klinik. Tapi keadaan masih teruk dan saya ke hospital sebelum disahkan terkena Influenza A.

"Doktor cakap saya kena berehat selama lima hari tapi setakat ini ada saja simptom baharu saya alami. Saya harap saya kuat untuk mengharungi dugaan ini," katanya.

Riena yang kini menjalani penggambaran drama Cinta Buat Dara untuk TV3 turut berharap orang ramai masih patuh dengan pemakaian pelitup muka setiap masa.

"Saya rasa ramai orang sudah lupa betapa pentingnya memakai pelitup muka. Ada yang selamba batuk-batuk depan orang lain tanpa pelitup muka.

"Mereka lupa walaupun Covid-19 sudah kurang tapi masih ada penyakit lain. Jadi, perlu untuk masih menjaga sebaiknya, bila demam jangan keluar kerana kita tak tahu lain orang lain tahap imunisasinya," katanya.

Terdahulu, Riena berkongsi berita sedih itu menerusi Instagram.

Menurutnya, penggambaran drama membabitkannya terpaksa ditangguh disebabkan jangkitan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 4:29 PM