RIENA dinasihatkan doktor untuk berehat secukupnya kerana terlalu kuat bekerja hingga kesihatannya terabai.
RIENA dinasihatkan doktor untuk berehat secukupnya kerana terlalu kuat bekerja hingga kesihatannya terabai.
Syafil Syazwan Jefri

Kerjaya sebagai pelakon bukanlah mudah, lebih-lebih lagi sekiranya jadual kerja perlu diuruskan sendiri tanpa pengurus tetap.

Bagi pelakon yang makin dikenali Riena Diana, dia sendiri mengakui betapa pentingnya kehadiran pengurus dalam menguruskan karier seni serta jadual kerjanya.

"Dulu, ketika mula-mula bergelar pelakon, saya memang bernaung di bawah satu pengurusan artis. Namun, selepas tamat kontrak, saya bergerak sendiri. Apabila dah tak ada pengurus, rasa beban sikitlah. Penat juga nak menguruskan jadual sendiri," katanya.

Menurut pelakon drama bersiri Kampung People dan Kampung People 2 ini, dia kini sedang berfikir sama ada perlu melantik pengurus atau tidak.

"Setakat ini, walaupun sedikit mencabar tapi saya masih dapat uruskan. Tapi, mungkin jika ada pengurus atau syarikat pengurusan artis yang sesuai, saya akan pertimbangkan," katanya.

Riena juga bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang banyak membantunya.

"Apabila dah tak ada pengurus, baru saya sedar bahawa kerja mengurus jadual ini tidak semudah disangka. Namun, saya bersyukur kerana dikurniakan rakan-rakan yang banyak membantu. Ada yang uruskan jadual dan ada yang tolong carikan tawaran lakonan. Jadi, secara tak langsung saya akan bantu mereka menjana pendapatan kerana setiap tawaran lakonan yang saya terima, ada bayaran buat mereka juga," katanya.

Menurutnya, kerana terlalu penat bekerja membuatkan kesihatannya terabai sehingga dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

"Apabila dimasukkan ke hospital, doktor menasihatkan saya supaya berehat secukupnya kerana badan saya terlalu kuat bekerja," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seninya apabila negara berdepan pandemik Covid-19, Riena bersyukur kerana dia masih berpeluang mencari rezeki.

"Alhamdulillah, walaupun Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerja-kerja lakonan masih lagi berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya masih lagi dapat keluar mencari rezeki. Namun, saya turut bersimpati dengan sesetengah masyarakat yang kehilangan punca pendapatan dan tidak dapat bekerja," katanya.

Terbaharu, Riena akan kembali menjalani penggambaran untuk drama yang akan ditayangkan di TV3.

"Insya-Allah, mulai 15 November ini saya akan terbabit dalam satu drama bersiri yang belum ada judul lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:30 AM