Pelakon drama Kampung People, Riena Diana. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pelakon drama Kampung People, Riena Diana. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Riena Diana kini berada dalam keadaan stabil selepas ditahan di hospital swasta di Setapak, di sini, kelmarin apabila mengalami muntah-muntah dan lemah tubuh badan. 

Riena yang popular dengan watak Laila atau Lailer dalam drama bersiri Kampung People itu berkata, dia dinasihatkan doktor untuk berehat buat sementara waktu dan mengumpul semula tenaganya. 

"Sebelum ini saya ada pihak yang menguruskan kerja-kerja lakonan saya. Namun, apabila sudah tidak ada, jadual saya jadi kurang teratur dan saya terima apa saja tawaran lakonan. 

"Disebabkan itu, badan saya tak dapat menampung jadual kerja yang padat membuatkan saya jadi terlalu letih hingga jatuh sakit. Mujur saya hanya ditahan selama sehari dan sekarang berehat di rumah," katanya kepada Harian Metro. 

Riena berkata, dia yang mengalami paranoid pada mulanya bimbang jika dijangkiti Covid-19 memandangkan dia menjalani penggambaran di luar. 

"Sebelum saya jatuh sakit, saya menjalani penggambaran travelog di Pulau Redang sebelum ke Muar, Johor untuk menjalani penggambaran drama. Jadi, risau juga kerana saya banyak habiskan masa di luar.

"Saya bimbang dijangkiti Covid-19. Sekiranya dijangkiti, saya takut saya menjadi punca orang lain turut dijangkiti. Tentunya rasa bersalah akan menghantui hidup saya selama-lamanya. Apabila sakit dan paranoid, saya akan berfikir macam-macam. Alhamdulillah, doktor sahkan saya hanya penat bekerja," katanya. 

Terbaru, Riena akan kembali menjalani penggambaran untuk drama bersiri 13 episod yang akan ditayangkan di TV3. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:19 PM