Riena Diana
Riena Diana
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kesakitan teruk dialami akibat dijangkiti Influenza A baru-baru ini, membuatkan pelakon Riena Diana, 25, trauma dan berdoa agar dia tidak dijangkiti oleh penyakit itu lagi.

Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal berkata, walaupun dia sudah pulih sepenuhnya sekarang, namun pengalaman dilalui ketika dijangkiti Influenza A itu, boleh disifatkan agak teruk.

"Saya tak nafikan, sekarang memang rasa trauma dengan penyakit Influenza A ini. Ia disebabkan rasa sakit yang teruk dan apa boleh saya kata, sakitnya lebih menyakitkan berbanding dijangkiti Covid-19 yang pernah dialami juga.

"Saya pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak tiga kali sebelum diuji dengan jangkitan Influenza A itu. Tapi, kesan kesakitannya masih boleh saya hadap lagi. Namun, dijangkiti Influenza A ini memang buat saya jadi trauma dan tak mahu terkena lagi," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Riena ditemui pada sidang media secara virtual drama Cinta Buat Dara lakonannya bersama Syafiq Kyle dan Sean Lee yang akan disiarkan slot Lestary TV3 mulai 24 Ogos ini, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu.

Tetap bersyukur kerana sudah semakin sihat, Riena berkata dia kini amat menjaga kesihatan dirinya termasuk sangat berhati-hati di mana saja berada. Jelasnya, apatah lagi kini dia turut mengalami asma.

Berbicara juga watak lakonannya yang kini lebih cenderung dengan komedi, Riena berkata pengalaman berlakon dalam drama Kampung People sebelum ini amat membawa perubahan besar pada personaliti dirinya.

"Kalau diikutkan, saya adalah seorang yang bersikap 'introvet'. Tapi, selepas berlakon dalam Kampung People, memang banyak perubahan berlaku pada diri saya terutama, jadi seorang yang lebih ceria, 'happy go lucky' dan boleh buat kelakar.

"Tak dinafikan juga, watak Lailer itu masih ada dalam diri saya sampai sekarang. Ia terus melekat dan sukar dipisahkan, tapi saya suka kerana ia membawa banyak 'vibe' positif dalam diri," katanya.

Terdahulu, Riena yang juga bekas penyampai radio Hot FM berkata, dia kini memang memberikan seluruh fokus pada karier lakonan, selain bersedia untuk lebih aktif dalam pengacaraan selepas mengacarakan program By the Sea musim kedua di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 2:45 PM